- Iklan -
Berita

Perlu dinaikkan lagi, kata Dr M walau rekod kadar suntikan vaksinasi tinggi

Bekas perdana menteri itu mahu angka vaksinasi dinaikkan dari 500,000 ke 800,000 dos sehari.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Program Outreach Imunisasi Covid19 Kebangsaan peringkat tertumpu kepada golongan yang uzur dan terlantar di rumah, di bawah program tersebut kumpulan kesihatan menjalankan vaksinasi dari rumah ke rumah.
Program Outreach Imunisasi Covid19 Kebangsaan peringkat tertumpu kepada golongan yang uzur dan terlantar di rumah, di bawah program tersebut kumpulan kesihatan menjalankan vaksinasi dari rumah ke rumah.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata kadar vaksinasi Covid-19 yang sudah mencapai 500,000 dos sehari perlu dinaikkan lagi, walaupun angka tersebut menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Bekas perdana menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana dapat meningkatkan jumlah pemberian vaksin kepada orang ramai.

“Tetapi saya berpendapat jumlah (suntikan vaksin) perlu dinaikkan lagi kepada 800,000 sehari kerana peningkatan kes baharu disebabkan terlalu ramai dari yang sudah dijangkiti berada disekeliling kita yang tidak dapat dikuarantin dengan berkesan,” katanya dalam sebuah hantaran Twitter, selepas menyertai himpunan bersama ahli-ahli Parlimen di Kuala Lumpur bagi membantah penangguhan sidang khas Dewan Rakyat selepas pengesanan kes Covid-19 di kawasan Parlimen.

Ratusan penyokong pembangkang turut dilihat menyertai himpunan ahli-ahli Parlimen yang berarak menuju bangunan Parlimen walaupun diberi amaran supaya tidak berhimpun.

Sejak dilancarkan Februari lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini berjaya diberikan kepada 21% populasi dalam negara.

Kadar vaksinasi juga memecahkan rekod pemberian vaksin harian dari sudut jumlah angka dos diberikan menjangkaui sasaran sebelum ini.

Ketika PICK baru dilancarkan, bekas perdana menteri Najib Razak meramalkan Malaysia akan gagal mencapai sasaran imuniti kelompok tepat pada waktunya yang disasarkan.

Najib turut berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya enam tahun untuk mencapat imuniti kelompok, mengatakan Malaysia antara negara yang paling lambat menjalankan program vaksinasinya di wilayah Asean.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin minggu lalu berkata kerajaan sedang menyasarkan 50% populasi dewasa lengkap dua dos vaksin menjelang 31 Ogos depan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin juga turut mengumumkan kerajaan juga kini sedang menyiapkan deraf untuk melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mereka yang menerima dos lengkap vaksin.