Tuesday, September 21, 2021

Era pasca Covid bakal saksikan lebih ramai warga emas di pusat jagaan?

Populasi warga emas yang meningkat ditambah dengan penyakit berisiko tinggi sementara anak-anak kembali ke kehidupan normal, mungkin bermakna permintaan lebih tinggi bagi perkhidmatan pusat jagaan warga emas.

Other News

Selama lapan bulan, Puan Lee tinggal di sebuah rumah teres putih dua tingkat di Petaling Jaya, Selangor – kediaman yang bersih dan luas namun ia bukan rumahnya miliknya.

Dia dihantar ke sana oleh anak-anak yang mahu melihat dia mendapat rawatan profesional.

Pada usia 90 tahun, Puan Lee menderita demensia selain menghidap beberapa masalah kesihatan lain yang memerlukan rawatan teratur.

Di rumah jagaan itu, dia memulakan setiap hari dengan mandi, kemudian makan ubat dan seterusnya menjalani terapi fizikal.

Setelah selesai, dia akan bersarapan dan melakukan aktiviti-aktiviti kreatif seperti mewarna.

Aktiviti-aktiviti kreatif turut dilaksanakan di pusat jagaan bersama pantauan jururawat.

Puan Lee adalah salah seorang dari 10 warga emas yang tinggal Heritage Senior Care Centre bersama beberapa pesakit lain di rumah jagaan tersebut.

Akibat langkah sekatan pergerakan dilaksanakan bagi membendung Covid-19, hampir setahun lamanya, dia tidak bertemu dengan keluarga.

Walaupun wabak Covid-19 di Malaysia pada awalnya menyebabkan penurunan bilangan warga emas di rumah jagaan, mereka yang berada di sektor perkhidmatan ini percaya ia akan berubah setelah negara mulai pulih daripada pandemik.

Menurut data dari Bank Dunia, penduduk Malaysia dijangka menua dengan kadar lebih cepat berbanding beberapa buah negara Eropah.

M Mohan, pengarah Click2Health yang mengendalikan pusat jagaan yang dihuni Puan Lee, berkata hal tersebut memberi maksud lebih ramai warga emas akan memerlukan rawatan dan penjagaan profesional.

Warga emas yang memerlukan rawatan yang baik dan rapi boleh mendapakannya di pusat jagaan berkediaman.

“Sebilangan besar warga emas ini menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan darah tinggi.

“Kami juga ada menerima pesakit yang mengalami demensia dan pesakit pasca pembedahan dan pasca strok. Angka itu akan meningkat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Buat masa ini, ahli keluarga mungkin boleh bersyukur kerana dasar bekerja dari rumah dilaksanakan banyak syarikat selepas pandemik melanda.

Namun wujud juga warga emas atau orang tua yang memerlukan lebih daripada ubat-ubatan mereka yang perlu dimakan tepat pada waktunya.

Bagi mereka, penjagaan yang betul memakan masa dan memerlukan usaha bersama melibatkan anak-anak – sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan ramai golongan menengah yang bekerja.

Pusat jagaan kejururawatan swasta adalah pilihan terbaik, namun ia lebih mahal daripada pusat jagaan berkediaman.

“Di sini, seorang jururawat boleh merawat beberapa pesakit,” kata Mohan.

“Ia lebih murah.”

Rumah ini juga mempunyai penjagaan 24 jam untuk penghuninya, sementara pusat kejururawatan swasta mempunyai waktu yang tetap.

Selain itu, di pusat jagaan berkediaman, penghuninya memiliki peluang berinteraksi dengan orang lain dalam aktiviti berkumpulan daripada hanya bersendirian.

Presiden Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Se-Malaysia Delren Terrence Douglas berkata beliau melihat peningkatan permintaan bagi perawatan berkediaman ketika negara berjuang untuk berdepan wabak Covid-19.

Beliau berkata dirinya mempunyai lima hingga enam permohonan sejak dua bulan lalu untuk mendapatkan tempat di pusat jagaan yang diuruskan beliau di Sungai Petani, Kedah.

“Orang ramai menerima kenyataan untuk hidup bersama virus itu,” katanya.

“Mereka tidak keberatan menghantar orang tua mereka walaupun kita berkata kita belum bersedia.

“Hal ini berlaku kerana jika sektor ekonomi dibuka kembali, mereka harus kembali bekerja.”

Pusat jagaan berkediaman menjadi pilihan bagi warga emas untuk mendapatkan rawatan rapi ekoran penyakit kronik yang dihadapi mereka.

Walaupun bagi mereka yang akan bekerja dari rumah, katanya, tidak mudah untuk melakukan pekerjaan dan menjaga orang tua sekali gus.

Seperti Mohan, Delren percaya jumlah kediaman pusaat jagaan berkediaman akan meningkat dalam masa terdekat kerana lebih ramai orang memerlukan bantuan untuk menjaga anggota keluarga mereka yang sudah tua.

Beliau menganggarkan terdapat sekitar 1,700 pusat jagaan berkediaman bagi warga emas di seluruh negara, termasuk premis-premis yang tidak berlesen.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles