- Iklan -
Berita

Anwar dakwa pembangkang cukup angka, kerajaan PN sudah tumbang

Anwar dakwa Muhyiddin sudah kehilangan majoriti di Parlimen.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen pembangkang berjalan sambil memegang sepanduk mendesak perdana menteri letak jawatan di Dataran merdeka hari ini.
Ahli Parlimen pembangkang berjalan sambil memegang sepanduk mendesak perdana menteri letak jawatan di Dataran merdeka hari ini.

Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim hari ini berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah kehilangan majoriti, mengatakan beliau dimaklumkan beberapa menteri sudah memohon kepada speaker Dewan Rakyat untuk mengubah sokongan mereka.

“Kerajaan Muhyiddin sudah jatuh tumbang hari ini,” kata pemimpin PKR itu ketika berkumpul bersama ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti pembangkang lain di Dataran Merdeka hari ini.

“Secara jumlah dengan bilangan 107 ahli Parlimen, kerajaan sudah ditumbangkan,” kata Anwar.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang hari ini mengambil keputusan untuk mengadakan tunjuk perasaan di Dataran Merdeka susulan Dewak Rakyat ditangguhkan selepas beberapa kes Covid-19 dikesan di bangunan Parlimen.

Ahli Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim menghulur mikrofon kepada Ahli Parlimen Langkawi Mahathir Mohamed ketika beberapa ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka mendesak perdana menteri letak jawatan.

Beberapa ketua parti politik juga turut bergilir berucap dalam tunjuk perasaan hari ini yang mendesak Muhyiddin untuk meletakkan jawatan.

Turut hadir bersama adalah Dr Mahathir Mohamad yang berucap selepas Anwar, menjadikan tunjuk perasaan kali ini seagai kemunculan bersama sejak Pakatan Harapan (PH) jatuh tahun lalu.

Antara yang turut hadir adalah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Pemimpin DAP itu turut mengetuai ahli-ahli Parlimen lain meneriakkan “Daulat Tuanku” ketika tunjuk perasaan hari ini.