- Iklan -
Berita

Boleh protes kemudian, bos pasar raya nasihati kumpulan muda tak peduli pandemik

Ameer Ali Mydin berkata matlamat utama sasarkan imuniti kelompok perlu dicapai demi menyegerakan pembukaan semula ekonomi.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa peserta perhimpunan #Lawan menunjukkan isyarat lucah ketika berhimpun di Jalan Tun Perak menuju ke Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan mereka terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.
Beberapa peserta perhimpunan #Lawan menunjukkan isyarat lucah ketika berhimpun di Jalan Tun Perak menuju ke Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan mereka terhadap Kerajaan Perikatan Nasional.

Taikun pasar raya borong Ameer Ali Mydin menyuarakan kebimbangannya dengan himpunan ramai penunjuk perasaan yang berkumpul walaupun pihak berkuasa kesihatan memeri amaran tindakan tersebut bakal mencetuskan pelbagai kluster Covid-19.

“Tidak lengkap dua dos vaksin dan kemudian berkumpul ramai-ramai pada satu masa, malangnya akan memberi kesan bukan sahaja kepada mereka, bahkan keluarga dan rakan-rakan mereka,” kata pemilik rangkaian pasar raya Mydin itu kepada MalaysiaNow.

Beliau dihubungi untuk memberikan respons berhubung gesaan di media sosial yang menggesa orang ramai menunjukkan sokongan kepada kumpulan anak muda yang merancang untuk mengadakan tunjuk perasaan menentang kerajaan di Kuala Lumpur.

Antara mesej tular yang boleh dibaca: Adalah wajar untuk mengatakan bahawa kita tidak boleh menunjuk perasaan ketika pandemik. Namun tunjuk perasaan adalah wajar sekiranya ahli politik jelas gagal, jika status quo hanya menyebabkan lebih banyak kematian dan penderitaan, dan jika kilang tetap dibuka walaupun banyak kluster. Dan protes pandemik boleh menjadi selamat.

Ameer Ali Mydeen.

Ameer berkata mereka yang mahu berkumpul perlu menunggu sehingga negara sudah mencapai tahap imuniti kelompok bagi Covid-19.

“Kita sudah tunggu 16 bulan. Mari tunggu untuk dua tiga bulan lagi bagi imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata orang ramai perlu bekerjasama untuk negara kembali dapat membuka sektor ekonomi sepenuhnya, selain bagi memastikan kestabilan demi menjayakan usaha-usaha menangani Covid-19.

Ameer turut menegaskan gesaannya sebelum ini supaya sektor ekonomi dibuka semula selepas beberapa bulan ditutup berikutan kebimbangan penularan virus, mengatakan ia adalah sejajar dengan peningkatan orang ramai yang menerima vaksin.

Beliau berkata kilang-kilang dan pusat beli-belah yang kakitangannya sudah 80% divaksin harus dibenarkan untuk dibuka semula dan menambah satu jalan untuk membantu sektor ekonomi kembali mendapat momentumnya semula adalah dengan membenarkan yang menerima dua dos vaksin kembali mengunjungi pusat beli-belah dan makan di restoran.

Peserta himpunan #Lawan membawa sepanduk dengan berpakaian hitam berjalan di Jalan Tun Perak menuju ke Dataran Merdeka.

Malaysia, yang kini melaporkan memiliki kadar vaksinasi harian yang tinggi di dunia, sedang menuju sasarannya untuk mencapai imuniti kelompok pada tahun ini.

Tunjuk perasaan di Kuala Lumpur semalam dengan tema “Lawan” diadakan selepas beberapa hari mobilisasi di media sosial.

Himpunan yang melibatkan hampir 200 orang kumpulan orang muda kecoh ketika berjalan berhampiran Dataran Merdeka menjerit beberapa slogan membantah kerajaan.

Himpunan itu juga dilaporkan turut disokong beberapa aktivis dan kumpulan anti-kerajaan.