Thursday, September 23, 2021

Hadkan waktu layari media sosial, kumpulan kesihatan beri amaran selepas peningkatan kes bunuh diri

Walaupun media sosial boleh digunakan untuk komunikasi bersama orang tersayang sepanjang pendemik, rakyat Malaysia diberi amaran agar tidak menggunakannya untuk perkara 'sia-sia'.

Other News

Kumpulan sokongan kesihatan mental mengesyorkan supaya orang ramai membataskan jumlah masa melayari media sosial terutama dalam kalangan yang berada di bawah tekanan emosi teruk, bagi mengelakkan pendedahan terhadap kandungan yang memburukkan lagi kebimbangan melampau selepas statistik baru-baru ini menunjukkan trend peningkatan kes bunuh diri.

Presiden Persatuan Kesedaran Dan Sokongan Penyakit Mental (Miasa) Anita Abu Bakar berkata melayari suapan berita di media sosial boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental.

“Media sosial sangat membantu sepanjang wabak ini,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini merupakan kaedah mudah untuk tetap berhubung dengan orang tersayang tanpa mengira jarak fizikal dan boleh menjadi alat berkesan untuk mengekalkan sistem sokongan yang kuat.

“Namun, cuba jauhkan diri dan bataskan waktu yang dihabiskan di media sosial di mana anda boleh lihat komen dan pendapat orang lain, ia akan bantu bataskan jumlah input negatif yang anda terima.”

Beliau juga berkata masa yang dihabiskan untuk “melayari perkara sia-sia” juga boleh menyebabkan seseorang berfikir secara berlebihan mengenai sesuatu perkara sehingga mempengaruhi pemikiran dan aktiviti harian.

Menurut statistik polis baru-baru ini, 609 kes bunuh diri dilaporkan pada 2019 dan 631 kes pada 2020.

Setakat bulan Mac tahun ini, 336 kes dilaporkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Abd Jalil Hassan berkata, 468 kes direkodkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021.

“Ini bermaksud secara purata dua kes bunuh diri berlaku setiap hari dari 2019 hingga Mei 2021,” katanya.

Anita mencadangkan supaya orang ramai menggunakan media sosial dengan memasang niat untuk “memilih maklumat yang tepat untuk diterima”.

Anita berkata ia akan menyebabkan seseorang itu tidak meluangkan masa yang berlebihan di platform media sosial.

“Anda akan ada lebih banyak masa bersama keluarga, atau bersenam, membaca buku, atau apa sahaja yang membantu anda fokus terhadap apa yang anda lakukan,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh praktikal antara lain dengan cara mengirim mesej secara terus kepada rakan atau keluarga jika mahu bertanyakan khabar berbanding dengan hanya mengunjungi akaun profil media sosial mereka, mengatakan ia boleh mengkhususkan penggunaan media sosial dan mencegah amalan melayarinya tanpa henti.

“Kita harus ada tujuan dalam ambil maklumat daripada media supaya hanya yang benar dan disahkan kita ambil, selain menggunakan media sosial untuk berhubung dengan rakan dan keluarga,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa Miasa menyaksikan peningkatan jumlah orang yang menghubungi mereka sepanjang wabak melanda negara.

Dari Ogos 2020 hingga Mei 2021, Miasa menerima 8,250 panggilan, 16,500 pesanan WhatsApp, 7,887 pesanan peribadi melalui platform media sosial dan 660 e-mel.

“Pandemik ini memberi tekanan kepada kesihatan mental orang ramai ke tahap yang belum pernah terjadi sebelum ini,” katanya dan menambah peningkatan kes berkaitan dengan bunuh diri mungkin disebabkan banyak faktor.

Anita memetik sebuah kajian yang diterbitkan pada Mei lalu yang meneliti impak perintah kawalan pergerakan yang menyenaraikan kesunyian disebabkan pengasingan sosial selain tekanan ekonomi yang semakin meningkat, terutama dalam kalangan mereka yang berada dalam kategori B40, sebagai faktor risiko yang berpotensi menjadi penyebab.

“Kekurangan sumber dan sokongan juga boleh menyumbang kepada hal ini. Pengasingan sosial bermaksud ramai yang terpisah daripada sistem sokongan mereka,” katanya.

Beliau turut berkata kejadian melibatkan peniru bunuh diri boleh terjadi akibat laporan tidak selamat oleh media sosial dan rakaman mereka yang cuba membunuh diri.

Bagaimanapun, Anita berkata ia tidak bermaksud teknologi harus ditolak sama sekali kerana media sosial dapat memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan boleh terus berhubung, bahkan katanya, pengiriman makanan boleh dilakukan melalui khidmat penghantaran.

Beliau mengakui mereka yang kurang celik dengan dunia maya mungkin sukar melakukan perubahan ini namun mengatakan orang ramai harus harus berusaha untuk mengekalkan hubungan antara satu sama lain.

“Ini juga dapat bantu seseorang untuk mencari sebanyak mungkin kumpulan sosial dan hobi dalam talian,” katanya.

“Masuk kelas maya dalam apa-apa bidang yang anda minat, masuk kelab buku atau senaman.

“Isi masa anda dengan melakukan aktiviti yang selamat yang mengutamakan kesejahteraan mental dan fizikal anda.”

Talian hotline berikut boleh dihubungi bagi mereka yang perlukan sokongan:

Pusat Kaunseling Agape Malaysia

Talian Hotline: 03-7785 5955/7781 0800

The Befrienders

Talian Hotline: 03-7956 8144 / 03-7956 8145

Life Line Association Malaysia

Talian Hotline: 03-4265 7995

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles