- Iklan -
Berita

Sabah kesan 3 kluster perayaan, tempat kerja di Tawau

Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan melakukan swab daripada seorang wanita di Sandakan, Sabah untuk diuji Covid-19. Gambar: Bernama
Petugas kesihatan melakukan swab daripada seorang wanita di Sandakan, Sabah untuk diuji Covid-19. Gambar: Bernama

Sebanyak 776 kes positif Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini dengan tiga kluster baru dikesan menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 82,620.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata dua kluster baru itu melibatkan penularan jangkitan dalam komuniti iaitu kluster Batu Keramat dengan 18 kes dan kluster Lahat-Lahat sebanyak 20 kes, masing-masing berpunca daripada sambutan Aidiladha serta kenduri tahlil.

Beliau berkata kluster Unipark pula merupakan kluster tempat kerja yang dikesan melalui saringan bergejala dan setakat ini merekodkan 18 kes positif hasil 54 ujian saringan.

“Aktiviti pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Pada masa sama, sebanyak lapan kematian dilaporkan iaitu empat di Kota Kinabalu dan masing-masing satu di Sandakan, Tawau, Lahad Datu serta Beaufort.

Secara keseluruhannya, Masidi berkata semua daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan 439 dikesan daripada saringan kontak rapat diikuti saringan bergejala (153 kes), saringan kluster (74 kes), saringan bersasar (32 kes) dan lain-lain (78 kes).

Mengulas perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Sabah, beliau berkata sebanyak 1.13 juta dos telah diberikan kepada rakyat negeri itu menerusi program tersebut sehingga hari ini.

Katanya jumlah rakyat Sabah yang mendaftar sebagai penerima vaksin turut merekodkan peningkatan dengan 1.13 juta orang atau 41.2% telah membuat pendaftaran di pelbagai platform disediakan.