- Iklan -
Berita

Jurang ketaksamaan kadar vaksinasi jejas kebangkitan ekonomi global, kata WTO

Perkara ini berlaku terutamanya di negara-negara berpendapatan rendah, yang merekodkan hanya 1% populasi menerima satu dos vaksin.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca d di Pusat Kesihatan Ndirande, Blantyre Malawi. Gambar: AP
Orang ramai menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca d di Pusat Kesihatan Ndirande, Blantyre Malawi. Gambar: AP

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Khamis memberi amaran bahawa jurang ketaksamaan global dalam kadar vaksinasi Covid-19 boleh mempengaruhi pemulihan ekonomi di seluruh dunia.

“Perdagangan dan output dunia pulih lebih cepat daripada apa yang dijangka sejak separuh kedua tahun 2020 selepas turun mendadak sewaktu gelombang pertama wabak ini,” kata ketua WTO Ngozi Okonjo-Iweala ketika menyampaikan laporan berhubung perdagangan dunia.

“Ramalan terbaru WTO menjangka jumlah perdagangan barangan akan meningkat 8% pada 2021 dan 4% pada 2022,” katanya.

Okonjo-Iweala berkata “prestasi perdagangan berbeza secara signifikan di seluruh wilayah, dengan akses vaksin yang tidak adil menjadi faktor utama perbezaan prestasi tersebut”.

“Ini berlaku terutama bagi negara-negara berpendapatan rendah, di mana hanya 1% populasi mereka menerima satu dos vaksin,” katanya.

“Kegagalan untuk memastikan akses global kepada vaksin telah menimbulkan ancaman serius bagi ekonomi global dan kesihatan orang ramai.”

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengeluarkan peringatan serupa pada Selasa, mengatakan “akses kepada vaksin menjadi penyebab utama mengapa pemulihan ekonomi global terbahagi kepada dua blok”.

Ketua WTO berkata walaupun nilai perdagangan barangan global menyusut sekitar 8% pada 2020, perdagangan bekalan perubatan meningkat sebanyak 16% dan peralatan pelindung diri hampir 50%.

“Namun, beberapa sekatan perdagangan berkait dengan pandemik kekal ada, dan cabarannya ketika ini adalah memastikan mereka benar-benar telus dan bersifat sementara sahaja,” katanya.