- Iklan -
Berita

Bekas penasihat media Najib setuju pulangkan RM7 juta

Badan anti rasuah itu berkata, wang tersebut akan dipindahkan ke akaun amanah 1MDB.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Paul Stadlen. Gambar: Facebook
Paul Stadlen. Gambar: Facebook

Bekas penasihat media Najib Razak, Paul Stadlen yang didakwa pada 2019 kerana penggubahan wang melibatkan RM14.3 juta, bersetuju untuk berunding dengan kerajaan, yang bakal menyaksikan lebih RM7 juta dipindahkan ke akaun amanah 1MDB.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, Stadlen bersetuju untuk melepaskan dengan rela hati keseluruhan wang berjumlah RM7,192,873.84, dan keseluruhan wang tersebut akan dipindahkan ke akaun 1MDB.

“Perkara tersebut diputuskan setelah mengambil kira bahawa jumlah itu adalah wajar untuk dilucut hak,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

“Sehubungan dengan itu, kes terhadap beliau ditarik balik.”

Stadlen yang bekerja untuk Najib selama sembilan tahun, meninggalkan Malaysia selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum 2018.

Dia didakwa “in absentia” (tanpa kehadirannya) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas tuduhan mengubah wang haram berjumlah RM15 juta pada 20 Februari, 2019.

Mengikut pertuduhan pertama, Stadlen didakwa mengarahkan pembayaran melalui 27 urus niaga membabitkan hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah sekitar RM8.2 juta dari akaun pelanggan firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan Aisha Mubarak, kepada beberapa individu dan syarikat itu antara Jun hingga Disember 2014.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki berkenaan dituduh mengarahkan pembayaran melalui 16 urus niaga hasil aktiviti pengubahan haram berjumlah sekitar RM6.1 juta dari akaun pelanggan firma guaman sama kepada beberapa individu dan syarikat itu antara Januari hingga Ogos 2015.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.