- Iklan -
Berita

Zahid gesa ahli Parlimen Umno tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Zahid mahu semua ahli Parlimen Umno mematuhi keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada 7 Julai lalu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menggesa ahli-ahli Parlimen partinya untuk menarik sokongan ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi memenuhi sumpah taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutan pada setiap masa,” kata Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zahid, Umno kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang didakwa mengingkari titah Agong yang mahu semua ordina darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen seiring Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, tindakan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan yang mengumumkan pembatalan ordinan darurat pada 26 Julai lalu adalah mengelirukan kerana ia tidak dapat perkenan dari Agong.

“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan.”

Gesaan Zahid hari ini adalah susulan daripada kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara yang menyatakan Agong berduka cita dengan pengumuman kerajaan yang membatalkan ordinan darurat tanpa perkenan istana.

Kenyataan Istana Negara menyatakan Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan ordinan-ordinan darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Ia turut menambah kenyataan Takiyuddin Isnin lalu mengelirukan Dewan Rakyat dan tidak tepat.

“Sehubungan dengan itu, Umno akan meminta Muhyiddin Yassin dan Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat,” kata Zahid.