- Iklan -
Berita

Putrajaya jelaskan tindakan batal ordinan darurat mengikut prosedur Perlembagaan

Muhyiddin menegaskan bahawa dalam menjalankan tanggungjawab, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bangunan komplek Perdana Putra di Putrajaya.
Bangunan komplek Perdana Putra di Putrajaya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sudah mengikut semua prosedur Perlembagaan dan peruntukan undang-undang yang ada sebelum mengumumkan pembatalan ordinan-ordinan darurat pada Isnin lalu, susulan kenyataan Istana Negara hari ini mendakwa tindakan tersebut telah mengabaikan peranan Agong sebagai ketua utama negara.

“Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana menteri menekankan bahawa dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau, adalah penting untuk beliau bertindak mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan” kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam sebuah kenyataan bagi menjelaskan keputusan untuk mengumumkan keputusan untuk tidak melanjutkan perintah darurat melangkaui 1 Ogos depan.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini yang menyebabkan timbulnya tohmahan “derhaka” daripada pembangkang terhadap Muhyiddin, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan duka cita terhadap tindakan kerajaan mengumumkan pematalan ordinan darurat tanpa perkenan baginda, mengatakan perkara tersebut perlu dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu.

Kenyataan PMO itu bagaimanapun menjelaskan beberapa mesyuarat dan keputusan yang diambil sebelum pengumuman di Dewan Rakyat pada 2 Julai lalu oleh Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan.

Katanya, kerajaan telah mengambil maklum dan mempertimbangkan gesaan Agong dan Raja-Raja Melayu bulan lalu yang menggesa perintah darurat tidak dilanjutkan dan sidang Parlimen perlu diadakan semula secepat mungkin.

Kenyataan tersebut berkata mesyuarat Kabinet pada 21 Julai lalu memutuskan supaya sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan selepas persetujuan Agong selain dua lagi keputusan mesyuarat.

“Kedua, jemaah menteri tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat Proklamasi Darurat baru setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

“Ketiga, oleh kerana darurat tidak akan disambung, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Baginda Tuanku sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa,” kata kenyataan PMO itu lagi.

Sehari selepas itu, katanya, Pejabat Perdana Menteri telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Pada 23 Julai 2021, perdana menteri telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat jemaah menteri supaya ordinan-ordinan darurat berkenaan dibatalkan dan memohon limpah perkenan Agong mengenainya.

Pada 24 Julai, the Agong telah menitahkan menteri undang-undang dan peguam negara mengadap untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai nasihat tersebut.

Ketika mesyuarat pada hari pertama, PMO berkata semua ordinan darurat telah dibentang di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Susulan itu, menteri Undang-Undang telah memaklumkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu jemaah menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

“Ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.” tambah PMO.

Katanya, pemakluman oleh Takiyuddin tersebut telah menimbulkan persoalan mengenai status perkenan Agong ke atas Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021, menyebabkan Muhyiddin telah memohon mengadap Agong pada tengahari 27 Julai bagi menjelaskan kedudukannya.

“Pada sesi menghadap ini, perdana menteri telah sekali lagi memberikan nasihat Jemaah Menteri mengenai pembatalan ordinan-ordinan darurat tersebut serta membuat penjelasan atas kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat.

“Perdana menteri juga telah menyembah maklum pandangan Kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya,” kata kenyataan itu lagi, sambil menambah sidang Parlimen yang berlangsung adalah mesyuarat khas yang diadakan di bawah Peraturan Mesyuarat 11 (3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang agendanya adalah penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.

“Oleh sebab itu, jemaah menteri telah memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan darurat sebelum mesyuarat khas Parlimen bermula,” tambah PMO.