- Iklan -
Berita

Agong belum perkenan pembatalan ordinan darurat, kata Istana Negara

Istana berkata pengumuman menteri pada 26 Julai lalu telah mengelirukan ahli-ahli Parlimen.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah. Gambar: Bernama
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah. Gambar: Bernama

Yang di-Pertuan Agong hari ini mengalu-alukan sidang Parlimen yang dijalankan semula, namun menyatakan rasa kecewa berikutan pengumuman kerajaan bahawa ordinan-ordinan darurat telah dibatalkan sebelum perkenan baginda.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh baginda sepanjang tempoh darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan baginda.”

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan permohonan pembatalan semua ordinan darurat yang berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen selain mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku ketua utama negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam pemerintahan Raja Berperlembagaan dan sistem Demokrasi Berparlimen bertunjangkan prinsip keluhuran perlembagaan, semua pihak perlu mematuhi kedaulatan undang-undang,” katanya.

Selain itu, kenyataan tersebut turut berkata Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan ordinan-ordinan darurat terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat jemaah menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku ketua utama negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan pada Isnin berkata semasa sidang khas Dewan Rakyat bahawa kerajaan bersetuju untuk tidak menasihatkan Agong untuk menyambung darurat selepas 1 Ogos pada 21 Julai lalu.

Beliau berkata, ordinan-ordinan darurat juga dipersetujui untuk dibatalkan.

Bagaimanapun, ia mendapat kecaman ahli-ahli Parlimen pembangkang, mengatakan menteri tidak mengikut proses yang betul dalam membatalkan ordinan tersebut.

Dalam pada itu, Takiyuddin memohon kepada speaker Dewan Rakyat untuk menjelaskan perkara tersebut pada Isnin depan.

Susulan kenyataan Istana Negara hari ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Rashid Hasnon telah menangguhkan sidang mesyuarat khas Dewan Rakyat hari ini sehingga pukul 2.30 tengahari.