- Iklan -
Berita

Pendakwaan, pembelaan mohon tangguh bicara Najib kes dana SRC RM27 juta

Kes itu dimohon tangguh kerana mempunyai kaitan dengan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC di Mahkamah Rayuan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan Najib Razak. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes rasuah Najib Razak membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta memohon supaya perbicaraan kes tersebut ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan bekas perdana menteri itu berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC di Mahkamah Rayuan.

Timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas prosiding pengurusan kes di dalam kamar hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

“Kes SRC RM27 juta telah ditetapkan untuk bicara bermula 2 hingga 9 Ogos ini tetapi memandangkan Mahkamah Rayuan masih belum memberi keputusan berhubung rayuan kes SRC RM42 juta, kami perlu memohon penangguhan perbicaraan kes di mahkamah ini sementara menunggu keputusan rayuan itu yang berkemungkinan akan dirayu sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan.

“Oleh itu, penangguhan kes SRC RM27 juta ini perlu kerana bukti di dalam kes ini saling berkaitan dengan kes SRC RM42 juta dan ia turut membabitkan jejak wang yang sama,” katanya.

Beliau berkata Zaini telah mengarahkan kedua-dua pihak menulis surat kepada mahkamah hari ini bagi memohon penangguhan perbicaraan kes itu yang sepatutnya bermula pada Isnin depan (2 Ogos) dan pendakwaan juga akan meminta agar tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan pada Ogos tahun ini serta Mac dan April 2022 dilapangkan.

Peguam Rahmat Hazlan, yang mewakili Najib, ketika dihubungi turut mengesahkan permohonan penangguhan perbicaraan kes SRC RM27 juta itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang mendakwa beliau menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen namun kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi pada 13 Mac 2019 atas permohonan pihak pendakwaan.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan membabitkan RM42 juta dana SRC International.

Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan yang kemudian mendengar kes tersebut pada 5 April hingga 18 Mei lepas dan menangguhkan keputusan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.