- Iklan -
Berita

Letupan kilang kimia ragut 2 nyawa di Jerman, 5 lagi masih hilang

Menurut laporan majalah Der Spiegel, letupan itu didengari hingga sejauh 40 kilometer.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Asap hitam dipercayai beracun selepas kilang kimia di Leverkusen, Jerman meletup. Gambar: AP
Asap hitam dipercayai beracun selepas kilang kimia di Leverkusen, Jerman meletup. Gambar: AP

Dua orang dilaporkan terkorban sementara lima lagi masih hilang dalam letupan yang berlaku di sebuah kilang kimia di barat Jerman.

Susulan letupan tersebut, penduduk digesa tidak keluar rumah bagi mengelakkan terhidu kepulan asap hitam yang mungkin beracun di kawasan berkenaan.

Menurut polis, kira-kira 31 orang dilaporkan cedera dalam tragedi di taman perindustrian Chempark di bandar Leverkusen itu termasuk lima daripadanya mengalami kecederaan serius.

Punca letupan yang kuat dan didengari hingga beberapa kilometer itu masih belum dikenal pasti.

Letupan dilaporkan berlaku sekitar 9.40 pagi waktu tempatan di kawasan pelupusan sampah di daerah Buerrig, Leverkusen, menurut operator tapak, Currenta.

Kawasan terbabit adalah terasing daripada taman perindustrian utama seperti Bayer, Lanxess dan Evonik.

“Usaha pencarian mangsa-mangsa lain sedang berjalan.

“Kami betul-betul sedih dengan kemalangan yang berlaku,” kata ketua Chempark, Lars Friedrich.

Sementara itu, Datuk Bandar Leverkusen, Uwe Richrath berkata, tragedi itu adalah peristiwa malang bagi penduduk bandar terbabit.

“Taman permainan di Buerrig dan kawasan sekitar Opladen akan ditutup.

“Penduduk juga dinasihatkan tidak memakan sayuran dan buah-buahan di laman mereka untuk sementara waktu,” katanya.

Letupan dikatakan bermula pada tangki yang digunakan bagi menyimpan pelarut cecair sebelum ia dilupuskan, kata Friedrich.

Kebakaran besar itu memakan masa beberapa jam untuk dipadamkan, dengan pasukan bomba dari Cologne yang berhampiran dihubungi untuk membantu.

Menurut Friedrich, tiga daripada tangki simpanan dilaporkan musnah sepenuhnya atau sebahagian, sekali gus sukar untuk mengetahui di mana letupan itu bermula.

Sebilangan polis, bomba dan pasukan menyelamat serta pakar pengesan pencemaran dikerahkan ke tempat kejadian.

Ciapan Twitter polis Cologne memaklumkan penutupan beberapa lebuh raya di kawasan terbabit susulan kerosakan teruk dan menggesa pengguna mengelakkan menggunakannya.

Sementara itu, penduduk tempatan berkongsi gambar asap hitam di media sosial dengan mendakwa tingkap kediaman mereka bergegar akibat letupan itu.

Menurut laporan majalah Der Spiegel, letupan itu didengari hingga sejauh 40 kilometer.