Tuesday, September 21, 2021

Kadar vaksinasi dipercepat selari dengan situasi semasa Covid-19, kata menteri

Semalam, jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian mencatat angka 553,871 dos suntikan jumlah tertinggi setakat ini.

Other News

Menerusi pencapaian kadar vaksinasi per kapita Malaysia yang kini antara terpantas di dunia, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsan (PICK) dilihat sebagai perisai penting negara daripada Covid-19 sekali gus mencapai imuniti dalam membolehkan negara keluar daripada belenggu pandemik itu.

Semasa membentangkan penerangan berkaitan program vaksinasi negara di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin berkata program imunisasi terbesar negara itu setakat ini menyaksikan peratusan penduduk Malaysia yang menerima vaksin bagi sekurang-kurangnya satu dos mengatasi beberapa negara maju seperti Jepun, Australia, Korea Selatan dan New Zealand.

Sambil menerangkan kronologi program dengan peruntukan RM5.8 bilion itu, Khairy berkata pada awalnya sasaran 80% penduduk menerima vaksin dijangka diselesaikan pada Februari tahun hadapan, namun tempoh masa itu disingkatkan kepada Disember 2021 setelah mengambil kira perkembangan semasa jangkitan.

“Garis masa ini disingkatkan lagi untuk kita selesaikan menjelang Oktober ini,” katanya yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi.

Semalam, jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian mencatat angka 553,871 dos suntikan jumlah tertinggi setakat ini.

Kejayaan program itu, kata Khairy, antara lain disumbang penglibatan pelbagai pihak menerusi pendekatan penglibatan semua pihak atau “whole-of-government” dan “whole-of-society”, termasuk bagi pengoperasian pusat pemberian vaksin (PPV) yang melibatkan petugas kesihatan dan bukan kesihatan.

Sehingga 22 Julai lepas, Khairy berkata terdapat 2,313 PPV daripada pelbagai jenis dan saiz kapasiti sedang beroperasi di seluruh negara, dengan seramai 16,133 orang sukarelawan bukan kesihatan yang menyumbang bakti dalam pengoperasian PPV di seluruh negara.

Khairy turut merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli Parlimen yang membantu proses pendaftaran penduduk di kawasan masing-masing dengan menyediakan pengangkutan kepada penerima vaksin ke PPV, sekali gus membuktikan komitmen mereka tanpa mengira fahaman politik.

Mengenai jumlah pendaftaran vaksinasi di bawah PICK, beliau berkata peratusan itu masih rendah iaitu 61.7 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia, berbanding sasaran 80 peratus.

Beliau memaklumkan setakat Isnin (26 Julai), peratusan yang sudah berdaftar bersamaan dengan 20.13 juta rakyat Malaysia dengan 18.8 juta daripadanya merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

“Berdasarkan statistik ini, jelas sekali jumlah pendaftaran ketika ini masih rendah berbanding sasaran PICK iaitu 80 peratus. Jika dilihat statistik pendaftaran vaksinasi beberapa negeri, peratusan pendaftaran adalah rendah berbanding nilai ambang ditetapkan di bawah Program Pemulihan Negara untuk sesebuah negeri beralih daripada satu fasa kepada fasa yang lain.

“Jumlah populasi dewasa yang berdaftar ialah 80.5 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa, manakala bagi golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas 3.5 juta orang,” katanya dan menambah bahawa 89 peratus daripada warga emas yang berdaftar menerima vaksin.

Berdasarkan jumlah keseluruhan vaksin yang diterima iaitu 26.38 juta, Khairy berkata tiga negeri yang menerima jumlah dos vaksin tertinggi sejak pelaksanaan PICK sehingga 31 Julai ini adalah di Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dengan 9.09 juta, diikuti Sarawak (3.65 juta) dan Johor (2.06 juta).

Setakat ini, enam jenis vaksin yang melepasi penilaian Bahagian Regulatori Farmasi Negara dan mendapat kelulusan pendaftaran bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ialah Vaxzevria (AstraZeneca), Janssen (J&J), Comirnaty (Pfizer), CoronaVac (Sinovac), AstraZeneca dan Convidecia (CanSino).

Khairy berkata selain daripada vaksin dalam portfolio PICK, dua lagi jenis vaksin Covid-19 yang turut mendapat kelulusan bersyarat PBKD adalah Covilo (Sinopharm) dan Janssen (J&J).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles