- Iklan -
Berita

Situasi virus, garis panduan SPR akan tetapkan PRN Sarawak

Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata situasi itu mesti kondusif untuk mengadakan pilihan raya negeri.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar:  Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata pilihan raya negeri yang dinanti-nantikan akan diadakan sewaktu pandemik ini jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan orang awam.

Bercakap pada sidang media hari di Kuching hari ini, beliau berkata Sarawak sedang menunggu SPR untuk membentangkan garis panduan pilihan raya.

Abang Johari turut berkata beliau percaya pilihan raya negeri (PRN) tidak boleh diadakan jika keadaan masih tidak selamat atau tidak kondusif bagi sektor kesihatan awam.

“Perintah darurat akan tamat pada 1 Ogos, jadi kita akan tengok apa akan jadi nanti. Ada tiga perkara yang perlu dipertimbangkan, pertamanya situasi Covid-19 sama ada keadaan semakin baik atau tidak.

“Kedua, sama ada SPR sudah tentukan SOP, dan apa jenis SOP yang akan dilaksanakan – itu perlu diputuskan SPR,” katanya dan menambah Sarawak tidak mahu berdepan keadaan seperti apa yang berlaku di Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu yang menyaksikan peningkatan angka kes Covid-19 selepas PRN.

Beliau turut berkata kerajaan hari ini perlukan mandat baru sekiranya situasi Covid-19 kekal tidak berubah selepas perintah darurat dibatalkan.

“Jadi, semuanya terpulang kepada agensi-agensi seperti kementerian kesihatan dan SPR untuk teliti semua faktor-faktor ini kerana keputusan terpulang kepada mereka,” katanya.

“Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas dua minggu ini.”

Abang Johari berkata SPR harus menyediakan SOP baru untuk mengawal kehadiran pengundi dan mengurangkan kebimbangan orang ramai mengenai Covid-19 dan dalam masa yang sama menggalakkan mereka menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

“Jika perintah darurat tamat pada 1 Ogos, maka pilihan raya negeri perlu dijalankan dalam masa 60 hari,” katanya.

“Namun kita mesti pastikan situasinya kondusif. Kita tak mahu rakyat tak keluar mengundi kerana takut penularan Covid-19.

“Jadi kita akan tunggu dan lihat apa yang SPR akan umumkan.”

Ketika ditanya adakah Sarawak akan melanjutkan perintah darurat untuk menangguhkan PRN, Abang Johari berkata kuasa untuk melanjutkannya adalah terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong.