- Iklan -
Berita

Taman tema, FEC tawar tiket, baucar bernilai RM640,000 bagi penerima lengkap vaksin

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa) gesa lebih ramai tampil dan daftar vaksinasi.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Matfa menggesa orang ramai mendaftar janji temu vaksinasi Covid-19 di samping menawarkan hadiah tiket dan baucar taman tema. Gambar: Bernama
Matfa menggesa orang ramai mendaftar janji temu vaksinasi Covid-19 di samping menawarkan hadiah tiket dan baucar taman tema. Gambar: Bernama

Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (Matfa) akan memberikan tiket diskaun dan baucar istimewa bernilai RM640,000 kepada mereka yang telah mendapat vaksin pada 31 Ogos sempena Hari Merdeka sebagai mendukung keputusan kerajaan yang mengumumkan mereka yang sudah menerima vaksin lengkap akan diberikan sedikit keanjalan dari sudut SOP Covid-19.

Presiden Matfa Richard CK Koh berkata tiket dan baucar itu boleh digunakan di 130 taman tema dan 350 pusat hiburan keluarga (FEC) di seluruh negara.

Dalam sebuah kenyataan, beliau menjamin kesemua taman tema dan FEC ini mempunyai rekod keselamatan yang sangat tinggi dan sudah lama melaksanakan sistem kawalan pintu masuk yang efektif.

“Kami juga akan menggunakan sepenuhnya aplikasi MySejahtera dan hanya membenarkan mereka yang mempunyai risiko rendah dan pelanggan yang sudah menerima vaksin lengkap dibenarkan masuk ke dalam premis,” katanya.

“Dengan persekitaran yang terkawal dengan risiko dan kapasiti yang dapat dikendalikan di kemudahan ahli-ahli Matfa berbanding dengan kebanyakan kawasan yang sesak serta tidak mempunyai sistem kawalan berpagar, kami yakin bahawa mereka akan mempunyai mobiliti dan fleksibiliti yang diperlukan dengan keyakinan keselamatan.”

Koh menambah Matfa dan pemain industri pelancongan sedang bekerjasama dengan kementerian pelancongan untuk membantu menyegerakan vaksinasi terhadap pekerja-pekerja mereka.

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyokong dan mendapatkan vaksinasi Covid-19 bagi membolehkan kita semua menikmati keistimewaan dan pelbagai tawaran menarik yang diberikan Matfa,” katanya.