Wednesday, September 22, 2021

Lebih 50 doktor kontrak Hospital Sungai Buloh jalankan hartal

Doktor kontrak nafi langgar sumpah, mahukan layanan lebih adil.

Other News

Lebih 50 orang doktor di Hospital Sungai Buloh yang berstatus kontrak bertindak keluar dari kompaun hospital bagi melaksanakan hartal pagi tadi.

Tindakan ini sebagai menyambut panggilan daripada kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang mahukan tindakan mogok di hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara hari ini.

Mereka dilihat memakai baju warna hitam dan membawa sepanduk mengelilingi kawasan luar hospital sebelum masuk semula ke dalam kompaun.

Kumpulan kedua doktor kemudian dilihat keluar kompaun selang beberapa minit dan membawa sepanduk.

Seorang wakil doktor dari kumpulan kedua yang tidak mahu dikenali berkata, tindakan hartal dilakukan hanya untuk mendapatkan layanan yang lebih adil.

“Kita tidak kompromi dengan kesihatan pesakit. Kita dah buat apa yang perlu sebelum keluar.

“Kalau kami dilayan secara adil, kami tidak akan berada di sini,” katanya ketika mengulas komen Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya semalam.

Doktor kontrak menuntut supaya mereka dapat diserapkan ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam.

Noor Hisham mengingatkan mereka mengenai ikrar profesional mereka, dengan menyatakan sebarang tindakan untuk menganggu perkhidmatan kesihatan akan menjejaskan prinsip “primum non nocere”.

Katanya, pihak doktor kontrak tidak mempunyai masalah menjalankan tanggungjawab mereka sewaktu pandemik, terutama apabila hospital tersebut dijadikan hospital Covid-19 sepenuhnya namun layanan tidak adil membuatkan mereka bertindak sedemikian.

“Kami tidak menghadapi waktu sukar ketika ini, Covid masih boleh diurus tapi kami wajar dihargai atas usaha kami,” katanya.

Difahamkan, ada antara doktor kontrak yang berkhidmat di Hospital Sungai Buloh  dipinjam daripada hospital lain.

Hospital Sungai Buloh digazetkan sebagai hospital penuh Covid-19 yang pertama pada Oktober tahun lalu, disusuli  Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

Terdahulu, penganjur hartal atau mogok mendakwa sejumlah 4,000 doktor kontrak akan menyertai mereka dalam “walkout” hari ini, meskipun kerajaan telah menawarkan lanjutan dua tahun kontrak seperti yang diumumkan perdana menteri minggu lalu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles