- Iklan -
Berita

Kerajaan putuskan tidak akan lanjutkan darurat

Semua ordinan darurat juga akan dibatalkan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sesi sidang khas Dewan Rakyat hari ini bermula pada pukul 10 pagi dan dijangka selesai pada 5.30 petang. Gambar: Bernama
Sesi sidang khas Dewan Rakyat hari ini bermula pada pukul 10 pagi dan dijangka selesai pada 5.30 petang. Gambar: Bernama

Kerajaan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan darurat kesihatan selepas tamat bulan depan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan berkata, semua ordinan darurat juga akan dibatalkan.

“Saya ingin mengesahkan pada hari ini, bahawa kerajaan persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baru apabila tamat pada 1 Ogos 2021.

“Kerajaan telah buat keputusan berdasarkan kepada perkara 105(3) untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dibuat semasa proklamasi darurat ini. Oleh kerana telah direvoke, maka issue annulment sudah tidak relevan.”

Pengumuman tersebut kemudian dibantah oleh ahli politik pembangkang, yang berterusan menyampuk ucapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, selepas sidang berjalan selama dua jam.

Beberapa minit beliau berucap, pemimpin DAP Gobind Singh Deo mencelah mengatakan pengumuman kerajaan untuk tidak melanjutkan darurat harus ditentukan oleh Parlimen.

Sementara itu, ketua pembangkang Anwar Ibrahim juga berkata ada beberapa proses yang perlu diambil kira sebelum darurat dibatalkan.

Sidang hari ini kemudian bertukar huru-hara apabila Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mengetuai ahli-ahli Parlimen pembangkang yang lain untuk tidak membenarkan Muhyiddin meneruskan ucapannya.

Terdahulu, ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan sidang khas hari ini, menuduh kerajaan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun telah “derhaka” kepada Raja-Raja Melayu kerana tidak memanggul sidang penuh Dewan Rakyat seperti yang dititah Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa kali percubaan oleh Takiyuddin untuk menjelaskan kepada sidang hari ini kemudiannya disampuk oleh ahli-ahli Parlimen DAP dan Amanah.

Awal bulan ini, kerajaan bersetuju untuk menasihatkan Agong untuk memanggil sidang khas Parlimen untuk menjelaskan Pelan Pemulihan Negara kepada ahli-ahli Parlimen.

Sidang khas Dewan Rakyat dijadualkan hari ini hingga 29 Julai depan dan 2 Ogos sementara Dewan Negara akan bersidang selama tiga hari dari 2 hingga 5 Ogos depan.

Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) telah ditangguhkan sejak Januari lalu selepas Proklamasi Darurat diisytiharkan bagi membendung peningkatan jangkitan Covid-19.

Penggal keempat Parlimen akan diadakan selama 15 hari pada September depan dan 32 hari dari Oktober hingga Disember.

Sidang mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan bermula pada 6 hingga 30 September, dan mesyuarat kedua akan bermula pada 25 Oktober hingga 16 Disember.