- Iklan -
Berita

Kelonggaran bagi pemegang pasport vaksin: Ya atau tidak?

Ketika Putrajaya mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan pergerakan terhadap penerima vaksin lengkap, para pakar membahaskan kebaikan dan keburukan untuk bergantung dengan pasport vaksin bagi keanjalan domestik dan kelonggaran SOP.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Pasport vaksin merupakan sijil menyatakan individu pemegang pasport sudah mendapatkan suntikan dua dos vaksin Covid-19.Idea penggunaan pasport vaksin mendapat tempat bagi memudahkan negara penerima dan syarikat penerbangan mengetahui status seseorang pelawat.
Pasport vaksin merupakan sijil menyatakan individu pemegang pasport sudah mendapatkan suntikan dua dos vaksin Covid-19.Idea penggunaan pasport vaksin mendapat tempat bagi memudahkan negara penerima dan syarikat penerbangan mengetahui status seseorang pelawat.

Beberapa pakar menggesa Putrajaya untuk mempertimbangkan penggunaan pasport vaksin bagi memberikan keanjalan kepada penerima dos lengkap vaksin sebagai salah satu kaedah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sejajar dengan beberapa pengumuman pimpinan kerajaan berhubung perkara tersebut.

Pakar kesihatan awam Dr Sanjay Rampal berkata, sejumlah 10.3 juta dari 18.9 juta yang mendaftar sudah menerima dos pertama, berdasarkan kadar semasa vaksinasi, kerajaan memerlukan 43 hari lagi untuk baki 8.6 juta orang.

“Larangan rentas negeri dan daerah sudah tidak berkesan. Kita patut tinggalkan larangan pergerakan dan tekankan kepentingan mematuhi SOP sekurang-kurangnya untuk enam minggu akan datang,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Sanjay, bagi yang sudah mendaftar namun masih menunggu vaksinasi perlu diingatkan bahawa larangan pergerakan adalah untuk melindungi kesihatan mereka.

“Membuat ujian saringan kepada pengembara mungkin berguna untuk populasi yang tertutup seperti Pulau Langkawi, Tioman yang mana tiada transmisi Covid-19 dalam komuniti di pulau-pulau itu.”

Baru-baru ini Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya akan berbincang selepas perayaan Aidiladha untuk mempertimbangkan memberikan kelonggaran kepada penerima dos lengkap vaksin Covid-19.

Pasport vaksin merupakan satu sijil yang menyatakan individu pemegang pasport sudah mendapatkan suntikan dua dos vaksin Covid-19.

Idea penggunaan pasport vaksin mula mendapat tempat bagi memudahkan negara penerima dan syarikat penerbangan mengetahui status seseorang pelawat atau penumpang untuk tujuan perjalanan antarabangsa.

EU contohnya menguatkuasakan penggunaan pasport vaksin untuk perjalanan rentas negara di benua itu.

Bagaimanapun, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Ahmad Marthada Mohamed berkata, penggunaan pasport tidak boleh dijadikan satu-satunya cara untuk membenarkan perjalanan rentas negeri kerana ia dilihat tidak adil kepada mereka yang belum menerima vaksin.

“Penggunaan pasport vaksin dalam negara bagi membolehkan individu mendapatkan keistimewaan tertentu akan menimbulkan timbulkan perasaan tak puas hati dalam kalangan rakyat, kerana ada antara mereka sudah mendaftar lama tapi belum divaksinasi.

“Proses vaksinasi tidak terletak pada individu. Ia bergantung kepada negeri, jumlah dos, umur, pendaftaran dan banyak lagi pemboleh ubah yang menyebabkan seseorang itu dipilih,” katanya kepada MalaysiaNow.

Ahmad turut menggesa kerajaan untuk melihat amalan negara maju yang menggunakan tiga kriteria bagi urusan domestik, iaitu melengkapkan dua dos, ujian negatif dan status sama ada seseorang individu itu pernah dijangkiti atau tidak.

“Kalau kerajaan hendak melaksanakan keistimewaan domestik seperti yang diumumkan, maka wajar dibenarkan bagi mana-mana individu yang melengkapkan satu daripada tiga kriteria itu.”

Menurut Ahmad, penggunaan sijil ujian negatif yang boleh diperbaharui setiap dua minggu dilihat lebih adil untuk tujuan domestik.

Beliau berkata usaha itu memerlukan pelaburan pemerkasaan sistem kesihatan dan kaedah saringan yang lebih tersedia dan mudah dicapai oleh orang ramai.

Tindakan itu dilihat selari dengan Resolusi 2361 Parlimen EU yang menyatakan vaksin tidak wajib dan tiada individu diletakkan di bawah apa-apa tekanan untuk divaksin, selain memastikan tiada individu didiskriminasi kerana tidak mahu divaksin atas sebab kesihatan.

Sanjay berkata, penggunaan pasport vaksin tetap lebih baik berbanding sijil ujian.

“Individu asimptomatik tanpa sebarang rekod kontak tidak perlu perlu disaring.

“Antigen RTK mempunyai ciri-ciri diagnostik yang lemak dalam populasi asimptomatik ini,” katanya.