- Iklan -
Berita

Doktor kontrak tak pernah merungut waktu saya tadbir kerajaan, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri berkata ia hanya menjadi isu sejak kebelakangan ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata isu yang disuarakan oleh kumpulan doktor kontrak yang mengambil keputusan untuk melakukan mogok hari ini tidak pernah dibawa kepada perhatian beliau sewaktu mengetuai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Doktor kontrak adalah perkara biasa. Ia tak pernah dibawa kepada perhatian saya kerana ia bukan masalah pada waktu itu. Doktor kontrak tak merungut kerana mereka boleh nampak selepas jadi doktor kontrak mereka akan diserap ke jawatan tetap.

“Masalah ini tidak berlaku pada zaman saya dan ketika Najib memerintah. Tetapi sekarang jadi masalah kerana orang-orang (doktor kontrak) ini sudah terlalu lama berada di sana,” kata bekas perdana menteri yang juga merupakan pengasas parti Pejuang, katanya ketika sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hartal yang dilaksanakan oleh sekumpulan doktor kontrak yang menuntut penempatan jawatan tetap dalam sektor pekhidmatan awam.

Sistem kontrak diperkenalkan bekas perdana menteri Najib Razak untuk graduan perubatan, pergigian dan farmasi dalam pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Rakyat, dengan alasan kekangan jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam.

Pagi tadi, kira-kira 50 orang doktor berhimpun dalam sebuah protes Hartal Doktor Kontrak di luar Hospital Sungai Buloh, yang merupakan pusat rawatan utama bagi mangsa Covid-19.

Kumpulan itu sebelum ini mendakwa kira-kira 4,000 doktor akan menyertai protes hari ini

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan para doktor tindakan mereka boleh mengganggu perkhidmatan perubatan di saat-saat genting.

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak bagaimanapun menegaskan protes tersebut tidak akan menyebabkan sebarang gangguan terhadap pesakit.