- Iklan -
Berita

Presiden Umno positif Covid-19, 3 ahli Parlimen negatif

Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, kementerian kesihatan belum menerima laporan penuh daripada ujian saringan yang dijalankan di Parlimen.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Umno 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohd Rashid Hasnon dan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz masing-masing negatif Covid—19.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun didapati positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin di rumahnya.

Sumber rapat kepada Zahid yang dihubungi Bernama berkata ahli Parlimen Bagan Datuk itu dijangkiti Covid-19 kategori satu dan tidak bergejala.

Dalam pada itu, Annuar dan Abduh masing-masing secara berasingan mengesahkan mereka negatif virus itu.

Annuar ketika dihubungi Bernama berkata : “Saya baik dan sihat,” manakala Abduh juga dalam respons ringkas kepada Bernama berkata: “Alhamdulillah negatif”.

Pegawai komunikasi strategik kepada Rashid, Muhammad Afiq Mohd Hanif berkata selain ahli Parlimen Batu Pahat itu, semua pegawainya juga didapati negatif Covid-19 selepas menjalani saringan di Parlimen pada Jumaat.

Beliau berkata Rashid juga bukan kontak rapat kepada mana-mana individu yang dilaporkan positif virus itu.

“Semua pegawai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah negatif selepas ujian (saringan) yang dijalankan di Parlimen dan Rashid juga negatif. Rashid ada buat ujian sendiri (di klinik swasta) tadi dan keputusannya juga negatif,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat ini, kementerian kesihatan belum menerima laporan penuh daripada ujian saringan yang dijalankan di Parlimen pada Khamis dan Jumaat di Dewan Rakyat.

Terdahulu media melaporkan hasil saringan itu, sekurang-kurangnya 35 individu termasuk beberapa ahli Parlimen dikatakan positif Covid-19.

Saringan Covid-19 itu dilaksanakan sebagai langkah keselamatan dan pencegahan penularan wabak menjelang Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dijadual bermula Isnin ini.