- Iklan -
Berita

Masjid Terapung Sarawak bergelut teruskan aktiviti di musim Covid

Dianggap sebagai daya tarikan utama pelancong, Masjid Terapung kini berdepan masalah kewangan ekoran sekatan pergerakan penuh bagi membendung Covid-19.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Suasana bercahaya Masjid India Kuching atau dikenali Masjid Terapung di waktu malam.
Suasana bercahaya Masjid India Kuching atau dikenali Masjid Terapung di waktu malam.

Dua tahun lalu, Sarawak melancarkan Masjid Terapung – sebuah bangunan dengan seni bina unik yang di tebing Sungai Sarawak di Kuching.

Menelan kos pembinaan RM21 juta, ia dijangka menjadi tarikan pelancong seterusnya bagi negeri tersebut selepas Jambatan Darul Hana.

Pada waktu siang, bangunan yang tersergam indah itu jelas terbias di permukaan air sungai yang tenang.

Dan ketika malam pula, masjid ini akan diterangi cahaya berwarna-warni sehingga memberikan keceriaan di kawasan tebing sungai.

Hari ini, lampu berwarna-warni itu terus menyinar namun masjid itu – sama seperti ribuan rumah ibadah yang lain di seluruh negara – tinggal sepi dan kosong ekoran langkah sekatan pergerakan bagi membendung Covid-19.

Jika dulu ia meriah dengan para jemaah dan pengunjung yang mahu menyaksikan reka bentuk masjid yang unik, kehadiran mingguan untuk solat Jumaat terus menurun dari kira-kira 1,000 orang menjadi tidak lebih daripada 100 orang.

Perbezaannya sangat ketara ketika sambutan hari kemerdekaan tahun ini yang bermula pada 22 Julai dan mengikut tradisinya, ia akan berlanjutan selama seminggu.

Ketika Sarawak mula merayakan hari kemerdekaan negeri di Kuching Waterfront empat tahun lalu, ia menjadi sebuah sambutan besar dan sangat meriah.

Pengunjung membanjiri pusat bandar di mana jalan-jalan dipenuhi gerai-gerai makanan dan kraftangan tempatan selain kibaran bendera Sarawak penuh menghiasi seluruh pelusuk bandar.

Pada tahun-tahun berikutnya, perayaan tahunan itu terus meriah diraikan.

Jalan-jalan yang mengarah ke Jalan India dan Jalan Gambier akan sesak dengan arus trafik kenderaan yang mencari-cari tempat untuk parkir, sementara pejalan kaki akan berjalan di celah-celah kenderaan ketika mereka menuju ke ruang acara untuk menyaksikan pertunjukan.

Sepanjang hari sambutan itu, ia akan dimeriahkan dengan pameran-pameran dan pertunjukan secara langsung, sementara penduduk tempatan dan pengunjung dari luar akan turut serta dalam banyak program dan aktiviti yang dirancang untuk majlis istimewa itu.

Dalam kemeriahan sambutan, masjid Bandar Kuching itu akan menyaksikan berbondong-bondong jemaah yang berkumpul untuk menunaikan solat.

Selama bertahun-tahun, masjid yang bukan hanya dikenali sebagai rumah ibadah bahkan dianggap sebagai pusat komuniti, badan amal dan pusat pendidikan turut bergantung dengan sumbangan orang ramai bagi menjalankan aktiviti-aktivitinya.

Walaupun Hari Sarawak diraikan penuh sepi, kibaran bendera Sarawak tetap dinaikkan warganya.

Bagaimanapun, beberapa gelombang sekatan pergerakan dan larangan aktiviti sosial yang nampaknya tidak kunjung berakhir, ditambah pula dengan kebimbangan masyarakat terhadap varian Delta Covid-19 yang menular ketika ini menyebabkan Masjid Terapung bergelut untuk meneruskan peranannya.

Shajahan Sayed Ahmad yang bertanggungjawab menguruskan amanah lembaga kebajikan masjid berkata wabak tersebut menjejaskan sumber kewangannya.

“Sebelum ada had dan sekatan-sekaan mengenai jumlah jemaah yang dibenarkan hadir masjid, kita boleh kumpul sekitar RM40,000 sebulan,” katanya.

Kini, mereka boleh dikatakan bernasib baik jika dapat mengumpul RM4,000 sebulan.

Katanya, lembaga pemegang amanah juga memiliki banyak kedai berhampiran masjid yang disewakan kepada peniaga dengan bayaran minimum.

Namun hal ini tidak banyak membantu, kata Shajahan.

Bercakap kepada MalaysiaNow, dia berkata perintah kawalan pergerakan terbaru yang dikenakan pada bulan Jun menyebabkan para peniaga buntu kerana perniagaan tidak dapat beroperasi.

Hal ini bermaksud, mereka tidak dapat membayar sewa kedai kerana tiada pendapatan daripada perniagaan.

Shajahan berkata tahun ini adalah yang waktu yang paling sukar bagi masjid tersebut.

Walaupun mengasingkan sejumlah wang untuk elaun imam dan muazzin selain bayaran bagi pekerja penyelenggaraannya, kos bulanan termasuk bil air dan elektrik selalunya melebihi RM5,000.

Walaupun tidak begitu optimis, Shajahan berkata pihak masjid akan terus melakukan apa yang mampu dilaksanakan bagi terus menghidupkan rumah ibadah itu.

“Kami masih mempunyai simpanan tunai tetapi saya tidak fikir kami dapat bertahan bagi enam bulan lagi jika sekatan berterusan seperti ini,” katanya.