- Iklan -
Berita

Covid serang ahli Parlimen, kakitangan menjelang sidang khas

Ramai yang disahkan posiif juga merupakan kontak rapat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Sebilangan ahli Parlimen dan kakitangan disahkan positif Covid-19 menjelang sidang khas Dewan Rakyat Isnin depan.
Sebilangan ahli Parlimen dan kakitangan disahkan positif Covid-19 menjelang sidang khas Dewan Rakyat Isnin depan.

Hampir 40 orang kakitangan dan sekurang-kurangnya dua ahli Parlimen dipercayai positif Covid-19, dua hari menjelang sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin, selepas ditangguhkan sejak awal tahun ini, MalaysiaNow difahamkan.

Difahamkan perkembangan terbaru itu membimbangkan pihak berkuasa kesihatan yang memberi amaran angka jangkitan itu mungkin lebih ramai ekoran mereka yang diuji positif itu juga merupakan kontak rapat.

Beberapa kakitangan Parlimen yang bercakap kepada MalaysiaNow berkata mereka semua diarahkan untuk menjalani ujian Covid-19 pada 21 Julai lalu.

Turut difahamkan sejumlah 1,500 orang menjalani ujian tersebut dan lebih 30 orang disahkan positif selain puluhan lagi dikategorikan sebagai kontak rapat dan diarahkan kuarantin kendiri.

Kumpulan kedua ujian ke atas ahli-ahli Parlimen menyaksikan sekurang-kurangnya dua orang ahli Parlimen termasuk presiden sebuah parti politik, disahkan positif Covid-19.

“Beberapa pembantu ahli-ahli Parlimen ini turut disahkan positif,” kata satu sumber dan menambah beberapa ahli Parlimen dari Perikatan Nasional dan Umno turut diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat.

“Mungkin ada lebih ramai ahli Parlimen (yang disahkan positif), kerana ada antara mereka yang melakukan ujian di klinik swasta dan masih menunggu pengesahan,” katanya

Ketika dihubungi, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengesahkan kepada MalaysiaNow terdapat beberapa kes yang disahkan positif di kawasan sekitar Parlimen, namun beliau berkata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah akan membuat pengumuman mengenai perkara tersebut.

Sidang khas yang dijadualkan pada 26 Julai, akan berlangsung selama lima hari bagi membolehkan ahli Parlimen membahaskan Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Putrajaya bulan lalu.

Ia kemudian akan disusuli penggal keempat sidang Parlimen yang akan berlangsung selama 15 hari pada September dan 32 hari bermula Oktober hingga Disember.

Bulan lalu, Timbalan Speaker Rashid Hasnon berkata Parlimen sudah bersedia untuk melaksanakan persidangan Dewan Rakyat hibrid sekiranya diperlukan.

Difahamkan juga, sidang khas yang akan diadakan minggu depan akan memblehkan ahli Parlimen meluluskan pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat termasuk proses pengundian bagi memudahkan persidangan hibrid.