Monday, September 20, 2021

Ahli Parlimen kembali bersidang Isnin ini

Persidangan lima hari mulai 26 Julai itu dilaksanakan secara bersemuka dengan kehadiran semua ahli Parlimen di dalam dewan, tetapi dengan SOP yang ketat.

Other News

Isnin ini, ahli-ahli Parlimen akan kembali ke bangunan Parlimen bagi menghadiri sidang khas Dewan Rakyat selepas persidangan ditangguhkan sejak awal tahun ekoran pandemik Covid-19 yang kini hampir mencecah 1 juta kes.

Buat pertama kali untuk tahun ini ahli Parlimen akan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan Proklamasi Darurat dan langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.

Persidangan lima hari mulai 26 Julai itu dilaksanakan secara bersemuka dengan kehadiran semua ahli Parlimen di dalam dewan, tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dua lapis selain menjalani ujian saringan Covid-19 adalah antara perkara yang wajib dipatuhi oleh ahli Dewan Rakyat, petugas Parlimen dan media.

Persidangan Parlimen belum diadakan tahun ini berikutan perisytiharan darurat kesihatan untuk seluruh negara pada 12 Januari dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun pada Jun, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahas ahli-ahli Dewan Rakyat.

Pada 5 Julai, kerajaan bersetuju untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya persidangan khas Dewan Rakyat bagi penggal ketiga diadakan selama lima hari pada 26, 27, 28 dan 29 Julai serta 2 Ogos manakala persidangan Dewan Negara ditetapkan pada 3 hingga 5 Ogos.

Persidangan khas Parlimen adalah mesyuarat yang diadakan semasa Majlis dalam tangguhan dan mengikut Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Peraturan 11 (3) urusan-urusan mesyuarat itu hendaklah ditetapkan oleh perdana menteri dan pemberitahuan berkenaan urusan itu hendaklah dihantar kepada ahli-ahli tidak lewat daripada masa hendak diadakan mesyuarat itu.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 itu juga berbeza dengan mesyuarat penggal biasa antaranya tanpa istiadat pembukaan oleh Yang di-Pertuan Agong, perbahasan rang undang-undang dan sesi soal jawab lisan.

Sebaliknya, urusan-urusan mesyuarat khas itu adalah bagi membentangkan Proklamasi Darurat serta Ordinan-ordinan Darurat yang dibuat di bawah Proklamasi Darurat itu mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Turut dijadualkan adalah pembentangan Proklamasi Darurat (mengenai Pilihan Raya Parlimen Gerik, Perak, Pilihan Raya Negeri Bugaya, Sabah) serta penerangan daripada menteri-menteri berhubung Pelan Pemulihan Negara, program vaksinasi, pelaksanaan darurat dan pakej-pakej bantuan ekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan dilapor berkata ahli-ahli Parlimen boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka pada persidangan khas itu dan tidak timbul isu penerangan oleh sebelah pihak sahaja.

Sidang khas Parlimen sebelum ini pernah diadakan antaranya berkenaan isu Gaza pada 12 Januari 2009, isu MH17 pada 23 Julai 2014 dan Isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Januari 2016.

Persidangan khas kali ini turut menarik perhatian apabila Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob akan berada di kerusi “nombor dua” selepas dilantik timbalan perdana menteri pada 7 Julai.

Pada sidang khas ini juga empat ahli Parlimen Bebas sebelum ini termasuk bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad hadir sebagai ahli Pejuang selepas parti itu didaftar secara rasmi pada 8 Julai.

Bagi media pula, walaupun kehadiran secara fizikal di bangunan Parlimen adalah terhad disebabkan kekangan wabak Covid-19, Parlimen akan memperkenal dan menyediakan kemudahan platform sidang media secara hibrid dan sesi temu bual interaktif secara eksklusif dengan ahli-ahli Dewan Rakyat melalui aplikasi Zoom.

Dalam pada itu, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 dijadual bermula pada 6 hingga 30 September selama 15 hari dengan istiadat pembukaan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong manakala Mesyuarat Kedua dijadual selama 32 hari bermula 25 Oktober hingga 16 Disember.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles