- Iklan -
Berita

Putrajaya umum lanjutan, faedah bagi doktor kontrak, rangka penyelesaian jangka panjang

Beberapa faedah turut diumumkan kerajaan seperti cuti belajar bergaji dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pegawai kesihatan dan doktor yang bertugas lengkap memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) ketika melakukan ujian saringan rumah ke rumah di kawasan PKPD di Petaling Jaya.
Pegawai kesihatan dan doktor yang bertugas lengkap memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) ketika melakukan ujian saringan rumah ke rumah di kawasan PKPD di Petaling Jaya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan lanjutan dua tahun kontrak pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak selepas mereka melengkapkan empoh khidmat wajib, mengatakan ia adalah langkah segera ketika penyelesaian jangka sederhana dan panjang sedang dirangka kementerian kesihatan (KKM).

Muhyiddin berkata Kabinet turut bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

“Kerajaaan amat menghargai sumbangan para doktor sebagai barisan hadapan dalam berhadapan perang Covid-19 dan Kerajaan akan terus komited untuk memastikan kebajikan dan laluan kerjaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak diberikan perhatian sewajarnya serta bersifat adil,” katanya.

Langkah yang diumumkan perdana menteri hari ini adalah susulan beberapa tuntutan daripada pegawai perubatan kontrak agar kerajaan menyelesaikan rungutan mengenai pengesahan jawatan tetap mereka sehingga menyebabkan ramai doktor muda bertindak berhenti sekali gus keluar daripada perkhidmatan awam.

Menurut Muhyiddin, kerajaan memahami kebimbangan dan masalah yang dihadapi kumpulan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak berhubung kesetaraan laluan kerjaya mereka.

Justeru, katanya, Kabinet bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bergaji penuh dan hadiah latihan persekutuan.

“Antara persetujuan lain yang turut dicapai adalah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.”

Muhyiddin berkata keputusan-keputusan yang diumumkan hari ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk memuktamadkan kajian reformasi sistem kesihatan yang sedang dilaksanakan KKM.