- Iklan -
Berita

Malaysia kekal destinasi utama Asia bagi pembuatan, perkhidmatan global bernilai tinggi

Negara merekodkan sejumlah RM80.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menurut Knight Frank industri lojistik dijangka terus menerima minat pelaburan disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap kemudahan gudang dan pengedaran.
Menurut Knight Frank industri lojistik dijangka terus menerima minat pelaburan disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap kemudahan gudang dan pengedaran.

Knight Frank Malaysia menjangkakan negara akan kekal sebagai destinasi pelaburan menarik bagi pembuatan dan perkhidmatan global bernilai tinggi di Asia.

Perunding hartanah global bebas itu dalam satu kenyataan berkata negara merekodkan sejumlah RM80.6 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama 2021, melonjak 95.6% daripada tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingannya, Judy Ong berkata pandemik Covid-19 telah meningkatkan ledakan e-dagang dan ia memberi prospek baik kepada pasaran hartanah perindustrian.

“Krisis Covid-19 memberi hikmah bagi industri logistik kerana pandemik ini telah mewujudkan keperluan bagi ruang gudang untuk memenuhi memenuhi lonjakan perkhidmatan penghantaran dan pengumpulan.

“Dengan kawalan pergerakan dan sekatan pergerakan, terdapat peralihan struktur ke arah peruncitan pelbagai kaedah,” katanya.

Pada masa depan, Ong berkata industri lojistik dijangka terus menerima minat pelaburan disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap kemudahan gudang dan pengedaran.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan momentum pertumbuhan industri, yang pada mulanya dijangka berterusan hingga ke separuh kedua 2021 dan seterusnya, akan terjejas memandangkan Malaysia sedang bergelut dengan peningkatan jangkitan Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pasaran Modalnya Allan Sim berkata bagi sektor pembuatan, syarikat menjangkakan lebih banyak pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) didorong oleh kekurangan global semikonduktor serta pelancaran rangkaian 5G.

“Sektor E&E adalah antara yang mencatatkan prestasi tinggi dalam kalangan indeks utama seperti pengeluaran pembuatan, eksport, serta jualan pembuatan.

“Kami menjangkakan pelaburan dan potensi pertumbuhan yang ketara dalam E&E pada masa depan, dirangsang oleh permintaan global terhadap antara lainnya pengesan, semikonduktor, solar, Internet Pelbagai Benda (IoT), serta pelaburan seterusnya ke dalam kecerdasan buatan dan mesin pintar pada masa depan,” katanya.