Tuesday, September 21, 2021

Kerajaan mulakan perancangan pisahkan fungsi peguam negara dan pendakwa raya

Perkara itu akan ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara lain, namun dengan kesesuaian sistem perundangan Malaysia.

Other News

Kerajaan memulakan perancangan ke arah memisahkan fungsi peguam negara dan pendakwa raya bagi menjamin aspek keadilan dan memenuhi prinsip keluhuran undang-undang serta mengelakkan berlakunya percanggahan kepentingan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu akan ditambah baik melalui kajian perbandingan dengan negara lain, namun dengan kesesuaian sistem perundangan Malaysia.

Menurutnya kerajaan yang sentiasa terbuka dan bersedia mengambil langkah memelihara integriti serta kepercayaan awam terhadap badan perundangan termasuk Jabatan Peguam Negara dan seumpamanya.

“Kerajaan juga tiada halangan mempertimbangkan langkah mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sekiranya ada keperluan berdasarkan fakta, undang-undang dan juga langkah-langkah pihak tertentu yang boleh menimbulkan persoalan integriti dan keyakinan terhadap badan perundangan yang sepatutnya bertindak sebagai penasihat kepada kerajaan dalam aspek perundangan serta penjaga kepada keadilan jenayah,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam kenyataan melalui laman Facebooknya mencadangkan supaya ditubuhkan satu RCI pembaharuan Jabatan Peguam Negara, yang perlu melibatkan pakar-pakar perlembagaan.

Cadangan itu dikemukakan kerana beliau berpendapat perkembangan semasa menjejaskan kepercayaan masyarakat awam terhadap Jabatan Peguam Negara, dan jika tidak ditangani, secara tidak langsung ia akan menyumbang kepada kebuntuan politik, di samping menghalang usaha kerajaan membina keyakinan serta sokongan orang ramai bagi melawan pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles