- Iklan -
Berita

Kerajaan jemput wakil pembangkang sertai Majlis Pemulihan Negara

Tony Fernandes dari AirAsia antara ahli perniagaan berpengaruh dijemput menyertai MPN.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama

Kerajaan menjemput ahli-ahli politik pembangkang termasuk golongan profesional berpengaruh untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang baru ditubuhkan bagi memandu negara keluar daripada krisis Covid-19.

“Selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan whole-of-nation, MPN bersetuju untuk menjemput wakil-wakil dari parti-parti pembangkang iaitu Pakatan Harapan, Warisan and Pejuang, sebagai ahli MPN,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam satu kenyataan selepas mesyuarat pertama MPN yang dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini.

Zafrul berkata MPN juga bersetuju menjemput wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak termasuk beberapa individu yang mewakili pelbagai profesion.

Antaranya ialah bekas menteri kewangan, Nor Mohamed Yakcop, bekas pengarah urusan Khazanah Nasional Azman Mokhtar dan ahli perniagaan Tony Fernandes.

Selain itu yang turut dijemput menyertai MPN ialah penasihat Star Media Group Wong Chun Wai, Presiden PKS Malaysia Michael Kang, bekas ketua pengarah pelajaran Habibah Abdul Rahim, pakar kanak-kanak Dr Hartini Zainuddin, pakar psikiatri Dr Sivakumar Thurairajasingam dan pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman.

“MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar-pakar dari pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta pakar-pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing,” kata Zafrul.

MPN yang pertama kali dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, diumumkan penubuhannya oleh Putrajaya pada 16 Julai.

Zafrul berkata pada ketika itu Kabinet turut bersetuju untuk membentangkan cadangan tentang majlis itu semasa sidang khas Dewan Rakyat pada 26 Julai.