- Iklan -
Berita

Beberapa agensi siasat ahli perniagaan berhubung penipuan cukai, gubah wang gaya 1MDB

Siasatan tersebut berkaitan beberapa kontrak menguntungkan dari negara asing di mana keuntungan daripada kontrak tidak pernah diisytiharkan.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi

Beberapa agensi kerajaan dipercayai sedang menyiasat seorang ahli perniagaan Malaysia berhubung kemungkinan berlaku penipuan cukai serta disyaki melakukan pengubahan wang melibatkan bilion ringgit, MalaysiaNow dimaklumkan.

Difahamkan sekurang-kurangnya dua agensi terlibat dalam siasatan tersebut melibatkan pihak berkuasa kewangan dan anti-rasuah di sekurang-kurangnya tiga negara, di mana transaksi bernilai ratusan juta dolar berlaku melibatkan syarikat-syarikat yang diragui selain beberapa akaun bank peribadi.

MalaysiaNow masih belum boleh mendedahkan individu yang terlibat, bagaimanapun dokumen-dokumen yang diteliti para penyiasat menunjukkan wujud aktiviti yang mirip dengan skandal 1MDB, di mana sejumlah besar wang dikatakan dipindahkan ke dalam sebilangan akaun bank di beberapa buah negara.

Antara yang terlibat dalam penyiasatan termasuk Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang mengesahkan kepada MalaysiaNow awal bulan ini pihaknya maklum dengan siasatan yang sedang dijalankan tersebut.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif NFCC Sani Abd Hamid bagaimanapun enggan memberikan butiran mengenainya, mengatakan siasatan masih di peringkat awal.

MalaysiaNow turut difahamkan, siasatan tersebut berkaitan beberapa kontrak menguntungkan daripada sebuah kerajaan negara asing, di mana keuntungan daripada kontrak tidak pernah diisytiharkan oleh ahli perniagaan tersebut.

Satu sumber dalam siasatan berkenaan memberitahu MalaysiaNow perkara yang menyebabkan siasatan dilaksanakan adalah aspek utama dalam kontrak-kontrak tersebut iaitu kaedah pembayaran dilakukan.

“Kami beri perhatian mengenai arahan daripada penjual tersebut kepada pembeli supaya pembayaran dimasukkan ke dalam sekurang-kurangnya lima akaun bank di luar Malaysia, di mana kesemua syarikat tersebut bukannya milik penjual,” katanya.

Bagaimanapun, sumber menolak untuk mendedahkan negara yang terlibat, ia hanya mengatakan bank-bank tersebut adalah bank di “dua hab kewangan”.

“Sekurang-kurangnya satu daripada akaun ini adalah milik sebuah anak syarikat luar negara dari sebuah syarikat China dan didaftarkan di Pulau Cayman,” kata sumber itu, merujuk lokasi popular bagi mereka yang mahu mengelak daripada membayar cukai di negara sendiri.