- Iklan -
Berita

Sabah terima lebih 1 juta dos vaksin Covid-19 sepanjang Julai

Setakat ini, Sabah telah menerima 747,980 dos vaksin, baki lebih 300,000 dos lagi dijangka sampai pada 28 Julai depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pembantu Perubatan Hospital UiTM, memasukkan Vaksin Pfizer BioNTech ke dalam picagari sebelum disuntik. Kadar vaksinasi Covid-19 dalam negara semakin meningkat selepas bekalan vaksin stabil diperoleh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pembantu Perubatan Hospital UiTM, memasukkan Vaksin Pfizer BioNTech ke dalam picagari sebelum disuntik. Kadar vaksinasi Covid-19 dalam negara semakin meningkat selepas bekalan vaksin stabil diperoleh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sabah dijadual menerima lebih 1 juta dos vaksin Covid-19 untuk bulan ini (Julai), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap rasmi kerajaan Sabah berkenaan Covid-19 berkata, untuk bulan ini Sabah telah menerima 747,980 dos vaksin itu setakat ini termasuk penghantaran terbaharu 152,100 dos yang telah sampai ke sini petang semalam.

Masidi berkata mengikut jadual penghantaran Sabah akan menerima 30,000 dos vaksin Covid-19 esok (23 Julai) dan satu lagi bekalan vaksin dalam kuantiti yang besar iaitu 308,880 dos dijangka sampai pada Rabu depan (28 Julai).

“Kita mengharapkan tidak ada lagi gangguan ke atas penghantaran bekalan vaksin bagi bulan Ogos dan seterusnya, ini akan membolehkan kita meningkatkan kadar vaksinasi bagi penduduk Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Julai lepas, Ketua Menteri Hajiji Noor dilaporkan sebagai berkata, Sabah dijangka menerima 2.2 juta dos vaksin Covid-19 pada bulan ini dan awal bulan depan (Ogos) bagi melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).