- Iklan -
Berita

Perbicaraan kes gubah wang haram ditangguh, Shafee jalani kuarantin kendiri

Shafee jalani kuarantin selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Peguam Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama
Peguam Muhammad Shafee Abdullah. Gambar: Bernama

Perbicaraan kes peguam Muhammad Shafee Abdullah yang berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima dari Najib Razak dan dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan bersambung 27 Ogos di Mahkamah Tinggi.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee berkata perbicaraan kes itu yang dijadualkan bersambung hari ini, ditangguhkan setelah tertuduh menjalani kuarantin kendiri sehingga 1 Ogos selepas menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

“Oleh itu perbicaraan di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin akan bersambung pada 27 Ogos,” katanya semasa dihubungi pemberita hari ini.

Setakat ini, tiga saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 21 Mei lepas.

Pada 13 September 2018, Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek yang dikeluarkan oleh bekas perdana menteri itu dan dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.