- Iklan -
Berita

Peniaga haiwan ternakan Sarawak bergelut hadapi Aidiladha yang kurang meriah

Berdepan sekatan Covid-19 dan harga haiwan ternakan yang menjunam, penternak bergelut untuk bertahan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Penternak haiwan ternakan seperti Syed Razuan Syed Ali berdepan kesukaran akibat pembatalan bilan haiwan ternaknya selepas Aidiladha tidak dapat disambut seperti sebelum pandemik.
Penternak haiwan ternakan seperti Syed Razuan Syed Ali berdepan kesukaran akibat pembatalan bilan haiwan ternaknya selepas Aidiladha tidak dapat disambut seperti sebelum pandemik.

Pada tahun-tahun sebelum pandemik, Aidiladha atau Hari Raya Korban di Sarawak adalah perayaan yang sangat meriah kerana haiwan akan dikumpulkan dan disembelih sebagai sebahagian daripada upacara korban.

Kemudian, daging korban yang siap dilapah itu dibahagikan kepada yang kurang bernasib baik, mereka yang mungkin hanya menikmati daging sekali sahaja dalam setahun berkat kemurahan hati para peserta ibadah korban itu.

Malangnya, tahun ini, perayaan itu di Sarawak terasa muram akibat kes harian Covid-19 di seluruh negara terus berpanjangan meningkat sehingga mencatat lima angka selain kebimbangan mengenai varian Delta yang lebih mudah menular mulai dikesan di negeri itu.

Pihak berkuasa agama negeri juga mengumumkan larangan aktiviti korban sebagai langkah mencegah pertemuan atau aktiviti sosial yang boleh mencetuskan kluster-kluster baru perayaan.

Lebih parah lagi, sempadan negeri dan daerah juga masih ditutup dan perjalanan merentasnya adalah dilarang.

Syed Razuan di salah sebuah kandang haiwan terkenakannya.

Situasi demikian menyebabkan penternak haiwan kecil-kecilan Syed Razuan Syed Ali terjejas.

Syed Razuan yang berasal dari Kuching berkata jualannya merosot sekitar 90%.

“Kami sudah alami masa yang sangat sukar ketika kerajaan mengumumkan orang ramai tidak diizinkan untuk ikut serta dalam ibadah korban,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Sekatan seperti itu menyebabkan penternak seperti kami berdepan krisis kewangan yang lebih mendalam.

“Kami sudah ada produk yang sudah sedia dijual, tetapi akibat sekatan ini, peniaga haiwan ternakan kecil seperti kami tidak dapat bertahan kerana kami tidak memiliki kemampuan untuk menampung lebih banyak haiwan.”

Pekerja menguruskan kambing di kandang ternakan Syed Razuan.

Malahan katanya, bukan hanya penternak sahaja yang terjejas, semua orang yang terlibat dalam rantaian jualan termasuk pengeluar, peniaga tempatan, pengangkut dan pengeksport turut berdepan kerugian.

Memandangkan varian Delta yang sangat mudah dijangkiti dikesan di negeri ini, sekatan pergerakan mungkin terpaksa dihadapi untuk sedikit masa lagi.

Setakat semalam, pihak berkuasa kesihatan Sarawak berkata 76 kes varian Delta dikesan di negeri itu, menjadikan jumlah keseluruhan penemuannya sebanyak 93 kes sejak pertengahan Jun lalu.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa varian Delta boleh merebak dalam masa 15 saat melalui penularan udara.

Beliau turut berkata varian berkenaan merebak dengan cepat dengan nilai kebolehjangkitan (Rt) antara 5 hingga 8, berbanding virus Covid-19 pertama yang dikesan di Wuhan, China iaitu nilai Rt sekitar 2.5 hingga 3.

“Ini menjadikan 100 individu yang dijangkiti oleh varian Delta ini mampu menjangkitkan lebih 800 individu lain.

“Delta ini merebak dengan cepat dan jangkitan ini adalah melalui udara. Dalam masa yang singkat sahaja ia boleh dijangkiti,” katanya.

Dengan krisis Covid-19 yang terus melanda ekonomi, peniaga kecil seperti Syed Razuan ibarat telur di hujung tanduk.

Harga ternakan mengalami penurunan drastik, sehingga penternak hampir tidak dapat menampung keperluan asasi mereka.

Di ladang Syed Razuan di Matang, lebih kurang 20km dari Kuching, sekitar 300 lembu dan kambing masih menunggu untuk dijual.

Dengan harga yang rendah, haiwan-haiwan iu mungkin akan terus kekal di kandang mereka – dan kos menjaganya bukan murah.

“Untuk membesarkan seekor kambing kosnya sekitar RM600 sehari,” katanya.

“Ini tidak termasuk ubat-ubatan, gaji pekerja, atau lojistik.”

Syed Razuan Syed Ali memiliki ratusan kambing dan lembu di kandang ternaknya, namun pasaran ketika ini merudum menyebabkan jualan sukar dilakukan.

Permintaan juga menjadi masalah lain bagi penternak.

“Ramai pelanggan terpaksa batalkan tempahan ternakan mereka untuk ibadah korban tahun ini selepas pengumuman dibuat,” katanya.

“Hampir 90% daripada mereka batalkan pembelian.”

Sekarang, dia bergantung dengan beberapa pelanggan yang masih ada.

“Tetapi ia akan memakan masa beberapa hari kerana sekatan yang berkuat kuasa.

“Kami betul-betul bergelut sekarang ini,” katanya.