- Iklan -
Berita

Pejuang bakal hadiri sidang Parlimen, akan keluar Dewan sekiranya tiada perbahasan

Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu melihat sama ada perbahasan usul dibenarkan sebelum meneruskan kehadiran.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad berkata partinya akan menghadiri taklimat Parlimen pada 26 Julai ini dan akan melihat sama ada ia membawa manfaat kepada rakyat atau hanya menjelaskan dasar kerajaan yang disifatkan beliau sebagai gagal.

Kenyataan ahli Parlimen Langkawi itu dilihat berbeza dengan kenyataannya minggu lalu yang menyatakan Pejuang tidak akan menghadiri sidang Parlimen.

“Kita dah putuskan untuk hadir sekurang-kurangnya pada awal sesi. Jika kita dapati ia hanya penerangan polisi kerajaan, kita akan putuskan pada ketika itu untuk keluar Dewan Rakyat.

“Tapi kita belum putuskan kerana kita mahu melihat bagaimana kerajaan menguruskan perjumpaan ini,” katanya pada satu sidang media selepas mesyuarat majlis eksekutif Pejuang hari ini.

Terdahulu, Mahathir yang juga bekas perdana menteri menegaskan sesi taklimat itu bukan sidang Parlimen seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah kerana tiada perbahasan usul.

Hadir sama pada sidang media ituialah Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir yang juga ahli Parlimen Jerlun.

Selain Mahathir dan Mukhriz, ahli Parlimen Pejuang lain ialah Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Sharuddin Mat Salleh (Seri Gading).

Dalam pada itu, Mahathir berkata dia tidak akan menyertai Majlis Pemulihan Negara (MPN) selagi mana ia diletakkan di bawah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Katanya, kepimpinan perdana menteri dalam MPN bermakna majlis itu tidak bebas dan akan dipengaruhi pertimbangan politik.

Beliau turut mengulangi pendirian untuk meletak jawatan sebagai pengerusi Pejuang sekiranya diberi ruang dalam MPN yang menurutnya tidak boleh dianggotai oleh mana-mana ahli politik.