- Iklan -
Berita

Tak perlu tergesa-gesa dos ketiga untuk varian Delta, kata pakar

Dua dos vaksin sudah cukup memberikan perlindungan, manakala dos ketiga memberikan perlindungan tambahan terhadap varian Delta Covid-19.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Dalam satu kajian di United Kingdom, vaksin Pfizer dan AstraZeneca mampu mencegah hospitalisasi akibat varian Delta masing-masing sebanyak 96% dan 92% selepas individu mengambil dua dos suntikan. Gambar: Bernama
Dalam satu kajian di United Kingdom, vaksin Pfizer dan AstraZeneca mampu mencegah hospitalisasi akibat varian Delta masing-masing sebanyak 96% dan 92% selepas individu mengambil dua dos suntikan. Gambar: Bernama

Tidak perlu tergesa-gesa untuk dapatkan dos ketiga bagi melawan kemunculan varian Delta Covid-19 yang merupakan “variant of concern” kata pakar kesihatan, berikutan potensi jangkitan yang lebih kuat berbanding varian lain.

Menurut pakar virologi Universiti Sains Malaysia Yahya Mat Arip, perubahan berlaku kepada protein (spike protein) yang mengakibatkan keberkesanan antibodi.

“Katakan sebelum ini keberkesanan antibodi pada tahap 90%, dengan mutasi ini ia turun kepada 75%,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Seseorang itu masih mempunyai tahap perlindungan. Untuk memastikan seseorang mendapat perlindungan yang terbaik, maka dos ketiga dicadangkan.”

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), varian Delta dilaporkan berada di 96 negara dan dijangka akan terus merebak.

Dengan kemunculan varian Delta, syarikat pembuat vaksin, Pfizer dilaporkan mahu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk mengedarkan dos ketiga atau booster shot bagi meningkatkan perlindungan terhadap jangkitan Covid-19.

Syarikat itu juga dilaporkan merancang memulakan ujian klinikal pada Ogos untuk versi terbaru vaksinnya yang akan memberikan perlindungan lebih baik terhadap varian tersebut.

Yahya berkata, vaksin yang dicipta sebelum ini berdasarkan varian asal Wuhan, justeru vaksin yang akan dihasilkan untuk dos ketiga akan dicipta mengikut varian baru.

Katanya, perlindungan sebanyak 50% dicapai sebaik sahaja dua dos vaksin sudah disuntik.

“Tidak perlu terburu-buru untuk kerajaan memperoleh vaksin untuk dos ketiga. Kita perlu fokus kepada dos pertama dan dos kedua dahulu, iaitu memberi perlindungan kepada mereka yang tiada perlindungan.

“Saya pasti kerajaan sedang melihat perkara ini dan membuat perancangan awal dalam menempah vaksin untuk dos ketiga,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health and Social Policy Azrul Mohd, Khalib berkata, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada dos ketiga diperlukan.

“Data menunjukkan vaksin Pfizer dan AstraZeneca berkesan melawan varian Delta selepas seseorang individu melengkapkan vaksinasi. Bagaimanapun, kita tidak mempunyai data mengenai vaksin-vaksin lain,” katanya.

Pakar kesihatan awam, Dr Sanjay Rampal berkata, dos ketiga wajar dipertimbangkan hanya selepas program imunisasi yang sedang berjalan lengkap.

“Bagi dos ketiga, kumpulan yang berisiko tinggi seperti warga emas boleh dipertimbangkan.

“Dalam satu kajian di United Kingdom, vaksin Pfizer dan AstraZeneca mampu mencegah hospitalisasi akibat varian Delta masing-masing sebanyak 96% dan 92% selepas individu mengambil dua dos,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa varian Delta menjadi faktor peningkatan kes positif secara mendadak di negara ini kerana kadar kebolehjangkitan yang cepat.

Lebih membimbangkan, katanya jangkitan varian baru termasuk Delta boleh merebak dalam masa 15 saat di udara.

WHO melaporkan, beberapa faktor dikenalpasti yang mengakibatkan peningkatan jangkitan Covid-19 di dunia selain kemunculan varian-varian baru.

Antara lain, WHO berkata peningkatan pergerakan sosial yang meningkatkan jumlah kontak rapat, penggunaan sumber kesihatan yang tidak sewajarnya selain pengagihan vaksin yang tidak selaras.