Tuesday, September 21, 2021

MEF beri amaran setengah juta berisiko hilang kerja akibat sekatan pergerakan

Ia menggesa Putrajaya kaji semula nilai ambang bagi peralihan dalam Pelan Pemulihan Negara bagi menyegerakan fasa-fasa seterusnya yang membenarkan sektor-sektor tidak perlu beroperasi.

Other News

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa supaya kerajaan mempercepatkan peralihan antara fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), memberi amaran sejumlah 500,000 pekerja di sektor-sektor tidak perlu mungkin akan kehilangan pekerjaan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan penuh yang berpanjangan terus menjejaskan ekonomi negara.

Dalam sebuah kenyataan, Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman merujuk data Persekutuan Fesyen, Tekstil dan Pakaian Malaysia (FMFTA) menganggarkan mereka yang berada dalam industri-industri berkenaan sudah kerugian sebanyak RM163 juta sehari.

“Perniagaan fesyen, tekstil dan pakaian menyumbang RM27 bilion dalam nilai eksport pada 2019 dan RM21 bilion pada 2020 namun 15% daripada syarikat berkaitan sudah menghentikan operasi pada 2020 sementara 30% lagi berada di ambang penutupan perniagaan ekoran kurang aliran tunai dan masa depan yang tidak menentu,” katanya.

Beliau turut menambah empat kilang tekstil dan pakaian yang dimiliki syarikat-syarikat antarabangsa sudah menutup operasi di Malaysia dan terpaksa menghentikan sekitar 6,000 pekerja tahun lalu.

Menurutnya, apa yang berlaku itu menjejaskan rantaian perniagaan kecil dan sederhana dalam sektor tersebut.

“Rantaian bekalan dalam industri fesyen, tekstil dan pakaian memiliki hampir 500,000 pekerja, dan memikirkan kesemua 500,000 pekerja berisiko kehilangan kerja akibat sekatan pergerakan penuh yang berpanjangan adalah sangat menakutkan,” katanya.

Berdasarkan PPN, sektor-sektor tersebut hanya dibenarkan beroperasi semula pada Fasa Ketiga PPN.

Namun Syed Husman berkata dengan situasi Covid-19 dalam negara ketika ini, fasa itu akan mengambil masa lama untuk dicapai berbanding jangkaan.

“Kami cadangkan PPN dipercepatkan ke Fasa Tiga dan Empat dengan majikan dan orang ramai memberikan perhatian kepada keselamatan, mengamalkan langkah-langkah pencegahan wabak, dan mematuhi semua standard kesihatan, kebersihan terutamanya kualiti udara di sekeliling,” katanya.

Beliau berkata sektor-sektor tidak perlu seperti borong, pelancongan, perhotelan dan perkhidmatan juga turut terjejas teruk akibat beberapa sekatan pergerakan penuh.

“Kami bimbang situasi akan jadi lebih buruk jika sektor-sektor tidak perlu ini terpaksa terus ditutup sepanjang Fasa Satu dan DUa PPN, dan kami gesa kerajaan untuk segera kaji semula nilai ambang yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara untuk menyegerakan PPN ke Fasa Ketiga dan Empat tanpa tangguh-tangguh lagi.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles