- Iklan -
Berita

Tiada kesesakan lebuh raya kecuali di sekatan polis, kata LLM

Aliran trafik di lebuh raya lancar seperti biasa.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Kesesakan lalu lintas hanya berlaku di sekatan jalan raya yang dilaksanakan antara negeri dan daerah.
Kesesakan lalu lintas hanya berlaku di sekatan jalan raya yang dilaksanakan antara negeri dan daerah.

Menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi, Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) melaporkan keadaan trafik di semua lebuh raya adalah lancar kecuali perlahan di beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR).

Setakat pukul 3.39 petang ini, trafik dilihat lancar dan terkawal sebelum keluar Plaza Tol Gombak menghala ke arah Kuala Lumpur.

Ia setelah keadaan lebuh raya dilaporkan sesak malam semalam di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak di kedua-dua arah.

Turut dilaporkan sesak petang semalam Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan.

Katanya, kesesakan trafik di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang dilaporkan pagi tadi tidak berpunca daripada peningkatan jumlah kenderaan namun disebabkan pemeriksaan teliti di sekatan jalan raya (SJR) oleh pihak polis.

Polis Kelantan hari ini melaporkan peningkatan kenderaan yang masuk ke negeri itu dari arah utara melalui Jalan Gerik-Jeli sebanyak 5% sejak Jumaat.

Di media sosial, orang ramai melahirkan kebimbangan sekiranya berlaku kejadian rentas negeri ketika musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri sebelum ini, yang menyebabkan peningkatan kes dan kluster baru, selain penyalahgunaan kebenaran rentas negeri.