- Iklan -
Berita

Sekolah dibuka semula pada 1 September depan

Pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan diteruskan sehingga 31 Ogos depan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang murid menunjukkan tag namanya di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang pada 1 Mac lalu.
Seorang murid menunjukkan tag namanya di Sekolah Kebangsaan Taman Tasik, Ampang pada 1 Mac lalu.

Kementerian pendidikan (KPM) hari ini mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka akan dibuka semula pada 1 September depan.

KPM berkata pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hanya akan diteruskan sehingga 31 Ogos 2021.

“Ketetapan tersebut terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

“KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan guru, pentadir dan kakitangan di sekolah dapat terus ditingkatkan,” kata KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut KPM, bermula 1 September depan, pembukaaan sekolah akan dimulakan secara berperingkat bagi PdP bersemuka.

Bagaimanapun, ia akan mengambil kira penilaian risiko oleh kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bagi melihat keperluan untuk membuat perubahan terhadap tarikh tersebut.

Butiran lanjut mengenai pembukaan sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka akan dikeluarkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka, katanya.

Sebelum ini, sesi persekolahan secara bersemuka dimulakan pada 1 Mac lalu berikutan beberapa sekatan pergerakan dilaksanakan di seluruh negara.

Bagaimanapun, selepas peningkatan angka kes Covid-19 dalam negara KPM memutuskan untuk melaksanakan PdPR sekali lagi bermula 6 Mei lalu.

Kluster pendidikan di negara sudah dikesan di seluruh negara bermula Januari lalu.

Pada 25 Mac, sejumlah 811 kluster Covid-19 dilaporkan melibatkan pusat pengajian tinggi, sekolah menengah, sekolah rendah, pusat tahfiz dan madrasah.