Tuesday, January 25, 2022

Covid-19 jejaskan perniagaan gula apong di Sarawak

Permintaan bagi gula apong menurun secara drastik sejak pelbagai sekatan pergerakan dilaksanakan.

Other News

Di kampung-kampung pesisir di Sarawak, kehidupan ramai bergantung dengan hasil daripada pokok nipah yang banyak tumbuh di sepanjang kawasan bakau berlumpur.

Setiap pagi, penduduk kampung masuk ke hutan bakau bagi mengumpulkan nira nipah.

Dengan hati-hati mereka mengetuk batang setiap pokok yang matang dan mengumpulkan air nira yang melekit itu ke dalam bekas kayu.

Cecair berharga ini kemudian diubah menjadi gula yang dikenali sebagai gula apong.

Di Kampung Pinggan Jaya, yang terletak sekitar 40km dari bandar, Mahli Ramli menghabiskan waktu berjam-jam setiap hari di sebuah pondok berhampiran paya bakau untuk memasak air nira.

“Kami kumpulkan air nira pokok nipah dalam bekas buluh, kemudian kami rebus selama enam hingga lapan jam, bergantung pada berapa banyak getah yang dapat kami kumpulkan pada hari itu.

“Kami rebus hingga kering dan ia akan berubah jadi likat berwarna coklat pekat,” katanya kepada MalaysiaNow.

Biasanya, perniagaan kecil yang diusahakan beliau dapat menghasilkan 30kg gula setiap dua minggu bagi pengedaran tempatan.

Ketika Mahli sibuk di pondoknya, di rumah pula, isterinya Rohana sibuk menguruskan pesanan pelanggan.

Rohana bertanggungjawab untuk mengendalikan pemasaran gula apong mereka.

Rohana, isteri Mahli Ramli menunggu suaminya di sebuah pondok dikelilingi pokok nira.

Daripada proses pembungkusan hingga promosi, dialah yang menguruskan, dan ketika hari-hari yang sibuk dia mendapat bantuan dari dua pekerja.

Mahli dan Rohana sudah menjual produk gula apong mereka sejak tujuh tahun lalu.

Sebahagian produk gula apong mereka turut dihantar ke negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Sabah.

Sebelum krisis Covid-19, permintaan terhadap gula apong biasa mencatat jualan sehingga mencecah sekitar RM2,000.

Namun akibat wabak, perniagaan mereka merosot.

Dengan kebanyakan aktiviti sosial dilarang di bawah pelbagai sekatan pergerakan, permintaan gula apong semakin menurun.

Permintaan dari Kuala Lumpur pun sudah tiada.

Seperti perniagaan kecil yang lain, mereka turut menggunakan internet untuk menjual produk bahkan sebelum Covid-19 usaha tersebut sudah dimulakan.

Mereka berdua menerima pesanan melalui Facebook dan WhatsApp.

Sejak pandemik melanda negara, perusahaan gula apong terjejas akibat pelanggan yang menurun.

Bagaimanapun, permintaan masih rendah berbanding sebelum pandemik melanda negara.

Masalah lain yang dihadapi adalah liputan internet yang tidak stabil di kawasan kampung menjadikan sukar untuk mereka menjalankan perniagaan dalam talian.

Ketika Rohana perlu keluar berjumpa pelanggan, dia memerlukan kebenaran.

Dan hari ini, semakin jarang dia keluar bertemu pembeli gulanya kerana kebanyakan pelanggan gula apong yang menggunakannya untuk membuat produk seperti kek sudah kurang membeli bahan tersebut.

Lizzy Sulastrie Jeman, seorang ibu tunggal dari Kuching yang merupakan pengusaha kek lapis Sarawak berkata permintaan untuk kuih lapisnya menurun akibat sekatan pergerakan dan larangan pertemuan sosial.

“Tahun ini, semuanya sukar,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Walaupun kami dapat jual barang dalam talian, larangan untuk berkumpul mempengaruhi pendapatan saya.

“Perniagaan sekarang sangat perlahan.”

Sekatan perjalanan juga mempengaruhi perniagaan kecil di Asajaya yang menjual makanan tempatan termasuk gula apong.

Dolhan Mat, seorang peniaga dari Kampung Tambirat, berkata perniagaannya mengalami masalah teruk.

Kebiasaannya, kampung beliau yang terletak di tepi jalan dari jambatan Batang Sadong ke Kota Samarahan menerima ramai pengunjung dari bandar lain, terutama pada hujung minggu.

“Saya biasanya dapat menjual hingga 20kg gula apong sehari,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tetapi hari ini, Dolhan hanya boleh bergantung dengan pelanggan yang memiliki kebenaran perjalanan, yang bilangannya terlalu sedikit.

“Jualan saya menurun lebih daripada separuh.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles