- Iklan -
Berita

NGO gesa kerajaan basmi xenofobia di KDN selesaikan masalah buruh paksa

Lawyers for Liberty berkata kementerian dalam negeri perlu menghentikan layanan buruk terhadap pendatang asing dan mesti mengubah polisi berkaitan pendatang asing.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penguatkuasa imigresen menahan pekerja asing dalam serbuan di Dengkil bulan lalu. Semua tahanan dibawa ke depoh imigresen di Semenyih. Gambar: Bernama
Penguatkuasa imigresen menahan pekerja asing dalam serbuan di Dengkil bulan lalu. Semua tahanan dibawa ke depoh imigresen di Semenyih. Gambar: Bernama

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) hari ini menggesa rombakan besar-besaran polisi imigresen dan sikap pihak berkuasa terhadap pekerja asing sebagai sebahagian daripada usaha menangani masalah buruh paksa di negara ini, selepas Amerika Syarikat (AS) menurunkan kedudukan Malaysia dalam laporan tahunan terbarunya mengenai pemerdagangan manusia.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata komitmen yang ditunjukkan Menteri Sumber Manusia M Saravanan bagi mengadakan kerjasama strategik dengan AS berhubung isu tersebut adalah sebuah perkembangan positif, namun masih terdapat kekurangan butiran mengenai bagaimana kerjasama itu akan dilaksanakan.

“Lebih-lebih lagi selepas tindakan yang mengejutkan oleh menteri dalam negeri dan jabatan imigresen terhadap pendatang asing sepanjang pandemik, di mana mereka menjadi segmen terbesar yang menjadi mangsa amalan buruh paksa,” katanya.

“Sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk membasmi masalah buruh paksa di negara kita, pertama sekali ia harus mengakui bahawa pendatang asing adalah mangsa, bukan pesalah untuk diperlakukan seperti penjenayah.

“Menteri dalam negeri khususnya harus memberi jaminan penuh ia komited untuk melakukan perubahan yang signifikan terhadap undang-undang dan polisi pendatang asing ketika ini selain menghentikan layanan buruk dan bersifat xenofobia melalui pihak berkuasa. Selepas itu, barulah kita dapat maju untuk mendapatkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan.”

2 Julai lalu, Jabatan Negara AS menerbitkan laporan “Pemerdagangan Manusia 2021”, ia menurunkan kedudukan Malaysia ke dalam senarai Tier 3 bagi negara pelaku kesalahan terburuk berkenaan pemerdagangan manusia, menyertai negara-negara lain termasuk Afghanistan, China, Korea Utara dan Sudan Selatan.

Pada 13 Julai, Saravanan berkata pihaknya berbincang dengan dengan Duta AS di Malaysia Brian McFeeters dan memaklumkan kesediaan kementerian itu untuk mengadakan kerjasama strategik dengan AS dalam usaha membaiki penguatkuasaan bagi meningkatkan jumlah sabitan mengenai kes-kes amalan buruh paksa.

“Isu buruh paksa, terutama yang melibatkan pekerja asing, diberi keutamaan oleh kerajaan berikutan laporan Jabatan Negara AS serta beberapa laporan dan kajian lain yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi antarabangsa,” katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Zaid turut berkata malang sekali Malaysia nampaknya hanya didorong untuk bertindak selepas “mendapat reaksi balas daripada masyarakat antarabangsa”.

“Kita harus mengingatkan kerajaan bahawa menangani pemerdagangan manusia dan amalan buruh paksa di negara ini sebenarnya harus menjadi keutamaan.

“Hal ini berdasarkan Artikel 6 Perlembagaan Persekutuan, yang melarang perhambaan dan buruh paksa di negara kita selain tanggungjawab antarabangsa yang ditandatangani Malaysia ketika Konvensyen Buruh Paksa ILO sejak 1957,” katanya.

Beliau turut berkata umum sudah mengetahui banyak majikan mengeksploitasi kelemahan penguatkuasaan dan juga kelemahan dalam sistem undang-undang yang ada “bagi memaksa pendatang asig untuk bekerja di mana ia sebetulnya sebuah bentuk perhambaan moden, bahkan mereka turut menggunakan pihak berkuasa sebagai senjata untuk menakutkan mereka”.

“Tanpa rombakan polisi secara besar-besaran, sebarang tindakan rancangan tindakan pasti akan gagal,” katanya.