- Iklan -
Berita

Makin ramai rakyat Malaysia cari kerja, menurut data MCTF

Pameran kerjaya digital yang dijadualkan empat hari terpaksa dipanjangkan kepada seminggu berikutan maklum balas orang ramai.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Iklan peluang pekerjaan yang dipaparkan di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur.
Iklan peluang pekerjaan yang dipaparkan di hadapan sebuah premis peruncitan terkemuka di Pandan Jaya, Kuala Lumpur.

Semakin ramai rakyat Malaysia mencari pekerjaan tatkala krisis pandemik Covid-19 yang sudah setahun melanda negara masih belum menunjukkan tanda-tanda reda.

Situasi itu terjadi meskipun kadar pengangguran tahun ini bertambah baik kepada 4.5 % berbanding 5.3% tahun lalu.

Ia dibuktikan dengan 250,000 pengunjung online yang melayari pameran kerjaya The Malaysia Career and Training Fair (MCTF) anjuran Jobstreet dan AIC Exhibitions pada 6 hingga 12 Julai lalu.

Pengarah Urusan AIC Exhibition, William Ng berkata pameran yang julung kali dibuat secara digital itu dijadualkan berlangsung untuk empat hari namun respon yang menggalakkan daripada golongan penganggur menyebabkan pameran itu disambung kepada tujuh hari.

Menurut data pameran, kira-kira 28% daripada pelawat mempunyai lebih 20 tahun pengalaman kerja, manakala 26% adalah graduan.

Ia memberi isyarat bahawa pandemik itu menjejaskan kedua-dua golongan itu.

Tiga industri utama yang mewakili latar bekalang pencari kerja ialah perbankan dan kewangan, pembuatan, serta minyak dan gas.

“Apa yang jelas ialah meskipun wabak sedang melanda, banyak syarikat sedang merekrut pekerja meskipun memilih. Masih ada banyak pekerjaan di pasaran kerja, tetapi pencari kerja mesti lebih bijak dalam pendekatan mereka.

“Mereka perlu lebih bersedia memandangkan majikan lebih mendesak berikutan perubahan pasaran dan cabaran yang akan datang,” kata Ng.

Semasa pameran, pengunjung online boleh berinteraksi secara terus dengan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian menerusi fungsi “live chat”.

Mereka juga boleh mencari dan memohon terus dan menyertai forum-forum yang dianjurkan secara langsung.

Pameran tersebut disertai oleh nama-nama besar industri antaranya AEON, Exxonmobil, Hartalega, RHB Bank dan Samsung.

Sementara itu, pengurus Jobstreet Malaysia, Simran Kaur berkata, pameran maya selama seminggu itu melangkaui jangkaan pihaknya.

“Kita telah memainkan peranan dalam membantu rakyat Malaysia mencari kerja yang diingini tambahan ketika negara masih sedang mengalami pandemik,” katanya.