Thursday, July 29, 2021

Polisi perlindungan kanak-kanak diperlukan di peringkat organisasi, kata badan pemikir

Galen Centre berkata rumah-rumah kebajikan yang 'berniat baik' sahaja tidak cukup, naif bahkan berbahaya.

Other News

Badan pemikir menggesa supaya polisi-polisi berkenaan perlindungan kanak-kanak di peringkat organisasi perlu dibuat bagi memperbaiki isu keselamatan kanak-kanak di rumah-rumah kebajikan, susulan beberapa laporan mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang memiliki down syndrome didera di sebuah rumah kebajikan.

Galen Centre for Health And Social Policy mengakui kewujudan beberapa polisi atau dasar di peringkat kebangsaan seperti Akta 611 Kanak-Kanak Malaysia (2011) dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara (2009) namun mengatakan beberapa organisasi dan individu juga mesti dipertanggungjawabkan berdasarkan peraturan atau polisi perlindungan kanak-kanak di peringkat organisasi.

“Adalah satu hakikat yang membimbangkan apabila banyak organisasi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan kanak-kanak di Malaysia tidak memiliki dasar dalaman yang mentadbir tingkah laku dan tanggungjawab pegawai-pegawainya sedangkan kerja mereka melibatkan kanak-kanak,” kata Ketua Eksekutif Galen Centre Azrul Mohd Khalib dalam sebuah kenyataan.

Azrul turut berkata bekerja berdasarkan “niat baik” sahaja “tidak cukup, naif dan bahkan berbahaya”.

“Dasar perlindungan kanak-kanak dan prosedurnya harus menjadi prasyarat untuk pendaftaran sesebuah badan, selain menjadi kriteria utama bagi menerima sokongan dana kerajaan.”

Isu mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, menjadi tular di media sosial selepas seorang wanita mendakwa bahawa kanak-kanak itu telah disimbah dengan air panas dan diikat ketika berada di bawah jagaan sebuah rumah kebajikan yang diuruskan sebuah NGO.

Galen berkata kes kanak-kanak yang menderita akibat penderaan turut diburukkan dengan krisis Covid-19 yang berpanjangan.

“Melindungi anak-anak yang lemah, terutama mereka yang berkeperluan khas, daripada ancaman keganasan dan bahaya tidak boleh menjadi perkara yang bersifat reaktif dan hanya bergantung dengan perundangan, atau bergantung dengan laporan polis selepas kejadian berlaku.

“Pencegahan adalah langkah yang lebih baik, dan sikap berhati-hati ini dapat diperkukuh dengan menerapkan polisi perlindungan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Azrul mendesak Pesuruhjaya Suhakam Noor Aziah Mohd Awal; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun; dan Menteri Pendidikan Radzi Jidin, untuk bersama-sama berganding bahu memperkenalkan peraturan yang mencakupi semua organisasi dan kemudahan yang melibatkan urusan kanak-kanak.

“Orang dewasa yang mempunyai peranan rasmi atau tidak rasmi dalam urusan melibatkan kanak-kanak berada di kedudukan yang boleh dipercayai dan kuasa.

“Mereka memiliki tanggungjawab menjaga kanak-kanak yang bergantung kepada mereka bagi memastikan kehidupan mereka sihat selain persekitaran yang selamat,” tambahnya.

“Jangan tunggu atau berlengah lagi, jangan bertindak hanya apabila nyawa sudah terancam atau terkorban.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles