Monday, July 26, 2021

PM Thailand arah pakar kesihatan sedia lebih banyak maklumat campuran vaksin

Kebimbangan ketua saintis WHO Dr. Soumya Swaminathan berhubung kaedah mencampurkan vaksin menjadi pertimbangan negara dalam memutuskan campuran vaksin.

Other News

Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha mengarahkan pakar perubatan memberikan lebih banyak maklumat mengenai kombinasi vaksin berbeza yang sedang dipertimbangkan Kementerian Kesihatan Thailand untuk membendung pandemik Covid-19.

Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata ia berikutan kebimbangan ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr. Soumya Swaminathan berhubung kaedah mencampurkan vaksin.

“Perdana menteri tidak menolak kaedah mencampurkan vaksin Covid-19 yang berlainan untuk suntikan, tetapi mahu semua sektor mempertimbangkan nasihat Jawatankuasa Penyakit Berjangkit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Isnin, Thailand mengumumkan akan menggunakan kaedah campuran dua vaksin Covid-19 Sinovac dan AstraZeneca bertujuan meningkatkan perlindungan terhadap virus tersebut, terutama varian Delta yang lebih mudah merebak.

Bagaimanapun, ketua saintis WHO Dr. Soumya Swaminathan memberi amaran bahawa terdapat ketidakpastian mengenai keselamatan dan keberkesanan penggunaan kombinasi vaksin yang berbeza kerana “ia satu trend yang agak berbahaya “.

Beliau turut menyarankan agensi kesihatan awam memberikan nasihat berdasarkan data yang ada, dan kedua-dua aspek keimunogenan dan keselamatan perlu dinilai terlebih dahulu.

Hari ini, Bangkok Post melaporkan hospital dan pejabat kesihatan masih keliru dengan kaedah mencampurkan dos vaksin Sinovac dan AstraZeneca selepas perdana menteri mempersoal cadangan Kementerian Kesihatan itu.

Berikutan ketidakpastian itu, pejabat kesihatan wilayah di Nonthaburi memilih menangguhkan rancangan untuk menyuntik individu yang telah menerima satu dos vaksin Sinovac dengan AstraZeneca sebagai dos kedua.

Semalam, Thailand melaporkan 9,317 kes baru Covid-19 dan 87 kematian, menjadikan jumlah jangkitan kepada 363,029 dan 2,934 orang meninggal dunia.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kes baharu itu termasuk 9,309 jangkitan tempatan, merangkumi 2,021 melalui pengesanan kes aktif, dan lapan kes import.

Menurutnya kes baru kematian melibatkan 44 lelaki dan 43 wanita berusia antara 24 hingga 104 tahun termasuk 83 warga tempatan, dua rakyat Myanmar, masing-masing seorang warga China dan Laos.

“Hingga kini, terdapat 99,511 pesakit masih dirawat di hosital dan hospital medan di seluruh negara. Ada 3,201 pesakit dalam keadaan kritikal termasuk 828 yang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau menambah Bangkok mencatat jumlah kes tertinggi dengan 2,332 kes dan 55 kematian dalam tempoh 24 jam semalam.

“Di Bangkok, kira-kira 17% mereka yang menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital disahkan positif … Angka ini cukup tinggi,” katanya.

 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles