- Iklan -
Berita

Kerajaan cadang longgarkan sekatan pergerakan bagi penerima vaksin lengkap

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengikut jadual seperti yang telah dirancang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Selangor, 5 Julai 2021 - Beberapa penduduk Mentari Court menuju ke Pusat Pemberian Vaksin bagi mendapatkan vaksin Pfizer Bio-NTech di Petaling Jaya.Mentari Court merupakan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang pertama diberikan vaksin kepada penduduk.
Selangor, 5 Julai 2021 - Beberapa penduduk Mentari Court menuju ke Pusat Pemberian Vaksin bagi mendapatkan vaksin Pfizer Bio-NTech di Petaling Jaya.Mentari Court merupakan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan yang pertama diberikan vaksin kepada penduduk.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini berkata beliau sudah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mempertimbangkan kelonggaran sekatan pergerakan bagi mereka yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Program vaksinasi bagi saya mengikut jadual. kita harap dalam tempoh ebebrapa hari ke hadapan, bulan ini atau bulan depan, bekalan vaksin akan bertambah,” katanya ketika meninjau program bakul makanan di bawah inisiatif Prihatin.

“Saya minta JKJAV untuk menilai semula bagi mereka yang dapat vaksin dua suntikan upaya mereka akan diberikan kelonggaran kelonggaran sama ada dari segi perjalanan atau pergi ke kedai atau makan di restoran.

“Ini petanda supaya kita nak tunjuk bahawa sementara kita menguruskan Covid, kehidupan rakyat akan kembali seperti masa lepas.”

Berhubung program bakul makanan, Muhyiddin berkata setakat ini sebanyak RM173.429 juta dibelanjakan untuk bantuan bakul makanan dan memberikan manfaat kepada 9.26 juta penerima.

“Sebahagian besar kumpulan sasar, baik dari B40, M40 bahkan T20 turut dimasukkan, kerana ada juga daripada mereka yang terkesan, hilang pekerjaan dan tak dapat teruskan perniagaan.

“Yang penting kita dapat salurkan bakul bantuan ini secara adil dan saksama.”

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang daripada beberapa syarikat yang turut menjayakan program ini dengan sumbangan derma berbentuk wang tunai.

“Kita ucap terima kasih kepada badan politik, NGO, badan persatuan yang saya tengok berterusan membantu.

“Ini contoh terbaik, dalam kalangan rakyat Malaysia, kita bantu sesama kita, di zaman susah kita sama-sama susah,” katanya.