- Iklan -
Berita

Iran mahu jadi hab pengedaran minyak sawit Malaysia

Dalam tempoh 5 bulan pertama tahun ini, Iran mengimport sejumlah 309,704 tan metrik minyak sawit dari Malaysia.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja di ladang Felda sedang mengait hasil sawit bagi proses pembuatan minyak masak. Gambar: Bernama
Pekerja di ladang Felda sedang mengait hasil sawit bagi proses pembuatan minyak masak. Gambar: Bernama

Iran hari ini berkata ia bersedia menjadi hab pengedaran minyak sawit dan produk berkaitan sawit Malaysia ke pasaran Asia Barat dan Asia Tengah.

“Dengan lokasi yang strategik secara geografi, Iran memiliki sempadan darat dan laut menghubungkan 15 negara serantau di Timur Tengah serta Asia Barat dan Tengah,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan Republik Islam itu di Malaysia.

“Sementara itu, Malaysia akan menjadi pintu masuk penting ke negara-negara Asean lain, yang merupakan tempat tinggal bagi lebih 650 juta penduduk.”

Ketika ini, Iran yang merupakan pengimport terbesar minyak sawit di Timur Tengah berkata pihaknya bersedia membeli lebih banyak komoditi dari Malaysia dalam usaha menangani permintaan yang meningkat di negara itu dalam tempoh beberapa tahun ke depan.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, Iran mengimport sejumlah 309,704 tan metrik minyak sawit dari Malaysia, peningkatan lima kali ganda dari 63,039 tan metrik pada tahun lalu bagi tempoh yang sama.

“Untuk meningkatkan lagi industri dan kegiatan perdagangan dua hala, Iran akan terus meningkatkan import minyak sawit ketika ia sedang membuka jalan ke arah pemulihan ekonomi akibat kesan wabak,” tambah kenyataan tersebut.

Iran dan Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan ketara dari 2016 hingga 2018 berikutan perjanjian nuklear 2015 yang menyaksikan berakhirnya beberapa sekatan yang dikenakan ke atas Tehran.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara terus meningkat dari RM2.82 bilion pada 2016 hingga RM4.52 bilion pada 2017.