- Iklan -
Berita

Dr Mahathir harap kerajaan laksana majlis pemulihan yang dicadangkan Pejuang

Mahathir mendakwa walaupun majlis pemulihan yang Pejuang cadangkan mirip Pelan Pemulihan Negara, inisiatif kerajaan itu gagal mengurangkan kes Covid-19.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang masih berharap agar kerajaan memperkasakan majlis pemulihan negara yang dicadangkan parti itu semasa mesyuarat khas Parlimen akan datang.

Dalam satu sidang media, beliau berkata majlis tersebut akan terdiri daripada pakar-pakar kesihatan, virus, ekonomi, psikiatri, sosiologi dan lain-lain yang akan menjadi strategi keluar krisis Covid-19.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga berkata majlis itu wajar diberikan kuasa untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan dan tidak seharusnya dipengaruhi mana-mana parti politik.

“Majlis ini tidak wajar dipengaruhi parti politik dan tindakan akan diambil oleh pakar-pakar supaya kita boleh kurangkan kes harian Covid-19,” katanya. “Itu tujuan saya adakan majlis ini.”

Katanya, walaupun majlis yang dicadangkan Pejuang itu mirip Pelan Pemulihan Negara yang sedang dijalankan, katanya keadaan terkini menunjukkan pelan kerajaan sudah jelas gagal mengurangkan kes Covid-19.

“Apa yang kita lihat ialah kerajaan gagal kawal penyakit, daripada ratusan kes ke ribuan kes. Ini menunjuk bahawa kerajaan sudah gagal tangani masalah.

“Kami berpendapat ada cara-cara yang boleh digunakan yang kami harap boleh kita kurangkan wabak ini seperti mana kita lihat di setengah-setengah negara,” katanya.

Mengulas mengenai perjumpaan beliau bersama Tengku Zafrul Aziz pada Isnin, katanya beliau menawarkan nasihat kepada menteri kewangan mengenai cara menguruskan krisis Covid-19.

Zafrul yang juga menteri penyelaras PPN bertemu Mahathir bagi mendapatkan nasihat dan cadangan berikutan peningkatan kes harian.

“Politik bukan keutamaan, tetapi yang nasib rakyat kita, jadi saya beritahu apa yang saya tahu.

“Tak penting bagi saya yang dia daripada kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri itu berkata Pejuang masih belum menetapkan sama ada untuk hadir mesyuarat khas Parlimen, sambil menyatakan ia bergantung kepada keputusan speaker untuk membenarkan mereka membahaskan pelan tersebut.

“Kita nak tahu sama ada kita dibenarkan untuk debat dan cadangkan dalam sidang,” katanya.

“Kalau kita dibenarkan untuk mengusul cadangan kita, kita akan hadir. Jika tidak, kita akan tentukan sama ada mahu hadir atau tidak.”

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.