Thursday, July 29, 2021

Menteri kewangan adakan libat urus PPN bersama kerajaan Sarawak

Sesi itu membincangkan langkah untuk memperkukuhkan keberkesanan PPN di peringkat negeri Sarawak.

Other News

Satu sesi libat urus mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara maya, diadakan antara kementerian kewangan dan pemimpin kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan malam semalam memaklumkan, sesi satu jam itu yang dipengerusikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga menteri penyelaras PPN, bertujuan untuk memperkukuhkan keberkesanan PPN.

Barisan pemimpin GPS dalam sesi itu diketuai Ketua Menteri Patinggi Abang Johari Openg dan ketiga-tiga timbalannya, Amar Douglas Uggah Embas, Dr James Jemut Masing dan Amar Awang Tengah Ali Hasan, serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Sim Kui Hian dan Menteri Muda di kementerian yang sama, Dr Penguang Manggil.

“Pihak kerajaan Sarawak telah memberi beberapa input daripada perspektif Sarawak, ke arah memperkukuhkan ekonomi negeri, dengan mengambil kira impak pandemik Covid-19 dan sumbangan kepada ekonomi nasional,” menurut kenyataan tersebut.

Antara perkara dibentangkan termasuk program pemberian vaksin di Sarawak yang sedang berjalan lancar, program pembangunan infrastruktur, pembangunan infrastruktur ICT, industri pengeluaran dan pelaburan asing, sebagai teras untuk mempertingkatkan ekonomi Sarawak.

Faktor teras juga merangkumi potensi pertanian berdasarkan ‘internet of things’ (IOT), dan ekonomi berasaskan kelestarian sumber dan keselamatan di perbatasan yang amat panjang antara Sarawak dan Kalimantan, yang mempunyai kesan mendalam ke atas sosio ekonomi Sarawak.

Turut disentuh adalah mengenai pelaksanaan fasa-fasa PPN, yang harus disesuaikan dengan keadaan di Sarawak yang hampir sama besar dengan Semenanjung, menurut kenyataan itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles