- Iklan -
Berita

Erdogan suarakan solidariti terhadap usaha Malaysia perangi Covid ketika pertemuan dengan Azmin

Erdogan turut mengundang syarikat Malaysia meningkatkan pelaburan di negara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Insudtri Azmin Ali dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden di Ankara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Insudtri Azmin Ali dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden di Ankara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali hari ini memenuhi jemputan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk bertemu, pada hari terakhir lawatan kerjanya, menemui usahawan di republik tersebut selain memperkukuh kerjasama ekonomi antara dua negara.

Gambar lawatan tersebut turut dikongsi dalam akaun rasmi Twitter presiden negara tersebut.

Ketika pertemuan, Erdogan menyuarakan solidariti dengan Malaysia dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, selain turut menyatakan kesungguhan untuk mengadakan kerjasama rapat dengan negara berhubung vaksin.

“Dalam kesempatan ini, menteri kanan menyatakan harapan Malaysia agar kedua-dua negara berjaya menangani cabaran pandemik Covid-19, bangkit sebagai negara yang lebih kuat dan lebih berdaya tahan, ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan lestari,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Miti turut berkata Azmin memaklumkan kepada presiden Turki itu mengenai perjanjian untuk memperluaskan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara, selain meningkatkan kerjasama dalam sektor pertahanan.

“Presiden menyatakan terdapat 14 MOU dalam sektor pertahanan, yang sedang dilaksanakan. Beliau menekankan bahawa MOU yang termeterai antara kedua-dua negara sangat penting demi memastikan kedua-dua pihak benar-benar mendapat keuntungan daripada perjanjian tersebut,” kata Miti.

Erdogan juga turut mengundang syarikat milik Malaysia seperti Khazanah untuk meningkatkan pelaburan di Turki.

Mereka turut bersetuju pertemuan harus diadakan antara para pegawai kerajaan demi memajukan perbincangan mengenai perjanjian pertukaran mata wang dua hala, selepas pertemuan baru-baru ini antara bank pusat kedua-dua negara.

Kali terakhir Erdogan mengunjungi Malaysia adalah pada 2019 bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang dihos perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, sidang kemuncak itu menyaksikan Turki menandatangani 15 perjanjian dalam pelbagai bidang dengan Malaysia.

Turki adalah rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas UAE dan Arab Saudi, dengan jumlah perdagangan bernilai RM9.62 bilion.

Jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia dengan Turki melonjak 79.4% bernilai RM6.70 bilion bagi lima bulan pertama 2021.