- Iklan -
Berita

100 pesakit Covid-19 tahap 3 bakal ditempatkan di hospital tentera di KL

Kapasiti ICU dan jumlah kakitangan akan ditambah bagi menampung kemasukan pesakit Covid-19.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang sukarelawan dari Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional melihat anggota tentera menyusun sumbangan berupa kipas industri di atas 'forklift' selepas diserahkan kepada pihak Hospital Tentera Tuanku Mizan untuk digunakan pesakit Covid-19.
Seorang sukarelawan dari Pertubuhan Sukarelawan Jalinan Nasional melihat anggota tentera menyusun sumbangan berupa kipas industri di atas 'forklift' selepas diserahkan kepada pihak Hospital Tentera Tuanku Mizan untuk digunakan pesakit Covid-19.

Seramai 100 pesakit Covid-19 tahap 3 dijangka mula ditempat di zon pengurusan bencana (DMZ) di kawasan parkir Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur secara berperingkat bermula esok.

Ketua unit kawalan jangkitan hospital, Dr Sharifah Azlin Juliana Syed Zainal berkata, kebanyakan pesakit yang akan ditempatkan di hospital tersebut datang dari Hospital Tuanku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor.

Katanya, setakat ini lebih 50 pesakit Covid-19 tahap 4 dan 5 dirawat di DMZ tersebut.

“Kita buka untuk semua pesakit, tidak kira anggota tentera atau awam. Sebelum ini kita terima 21 orang pesakit Covid-19.

“Dengan bantuan daripada kementerian kesihatan (KKM), kapasiti unit rawatan rapi (ICU)  akan ditambah dengan kemasukan peralatan ICU dan kita cadang untuk tambah 17 lagi katil daripada empat katil sekarang,” katanya kepada media.

Sharifah Azlin berkata ketika ini enam pesakit ditempatkan di ICU, lebih dua pesakit daripada kapasiti sedia ada.

Dalam pada itu, Sharifah berkata pihaknya turut menunggu tambahan kakitangan KKM memandangkan berlakunya kekurangan kakitangan.

Seramai 50 kakitangan ditempatkan untuk menguruskan kes Covid-19 di DMZ yang mampu memuatkan sehingga 150 pesakit.

Ia mula beroperasi sejak Sabtu lalu bagi membantu hospital awam lain di Lembah Klang.

Kawasan parkir hospital itu digazetkan sebagai DMZ semasa pembinaan hospital bagi menghadapi bencana kimia dan biologi.

Ia disokong kemudahan sedia ada seperti bekalan elektrik, oksigen, “vacuum port” dan bantuan sokongan perubatan.