- Iklan -
Berita

Pengusaha restoran bantu lawan kelaparan ketika pandemik

Pengusaha restoran beri makanan percuma walaupun perniagaan terkesan akibat pandemik.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Mohd Nai'mullah menyediakan makanan percuma di samping keperluan asas yang diletakkan di gerainya untuk diedar kepada golongan yang memerlukan.
Mohd Nai'mullah menyediakan makanan percuma di samping keperluan asas yang diletakkan di gerainya untuk diedar kepada golongan yang memerlukan.

Tekanan ekonomi yang semakin dirasai rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19 memasuki tahun kedua mengakibatkan ramai penduduk negara ini mengalami kesempitan wang, terutama kumpulan rentan golongan miskin bandar dan B40.

Kisah rakyat Malaysia yang saling bantu-membantu ketika tempoh-tempoh sukar ini tidak lekang lalu di laman sosial.

Tidak ketinggalan dalam usaha membantu masyarakat sekeliling ialah pengusaha-pengusaha restoran yang membekalkan makanan percuma kepada mereka yang memerlukan.

Pengusaha Restoran Makan Place Mohd Izham Fahmi Yaakob berkata, restorannya mula memberikan makanan percuma sejak seminggu lalu.

“Kita sediakan dalam 15 ke 20 bungkus sehari, bergantung kepada keadaan. Kadang-kadang habis, kadang-kadang tak habis,” katanya kepada MalaysiaNow.

Restoran Mohd Izham di Puncak Alam di Selangor menyediakan nasi campur beserta sebungkus air sebagai makanan percuma.

Menurut Izham, meskipun perniagaannya terkesan dengan pandemik Covid-19, dia tetap ingin membantu orang ramai mengikut kemampuan.

“Kalau mereka terdesak, kadang-kadang sampai terpaksa mencuri. Jadi sebab itu saya tak kisah berapa bungkus pun mereka berapa nak ambil kerana sekarang kita sama-sama sedang susah,” katanya.

Menurut Izham, rata-rata penerima terdiri daripada golongan asnaf meskipun dia tidak pernah bertanyakan latar belakang.

Sementara pengurus Kedai Makan Abang Tukang Masak, Nur Fatin Abd Halim berkata, pihaknya menyediakan antara 200 ke 1,000 bungkusan makanan sehari kepada penduduk berdekatan di Damansara Damai.

“Berapa pun kami letak, makanan tersebut tak pernah tak habis. Kami tidak tetapkan sebarang kriteria, siapa pun boleh ambil sekiranya lapar atau memerlukan.

“Kadang kala kami beri juga kepada pengawal keselamatan yang bekerja lewat malam,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurut Fatin, kepadatan penduduk Damansara Damai yang agak tinggi antara sebab makanan yang disediakan kedainya sentiasa habis.

“Kebanyakan yang ambil makanan adalah warganegara yang berkeluarga, bukan warganegara juga ada.”

Restoran itu juga mempunyai ruang untuk bantuan asas untuk disumbangkan kepada lebih 2,000 orang penduduk sekitar.

Katanya, 80% kos sumbangan diperoleh daripada keuntungan perniagaan manakala 20% diterima daripada sumbangan orang ramai.

Pemilik gerai Nasi Briyani Batu Pahat Damansara Damai, Mohammad Na’imullah Nazli pula menyediakan 15 bungkus nasi sehari kepada penduduk yang memerlukan.

“Kita mulakan pada awal bulan Jun, selepas kita tengok di media sosial macam-macam isu yang terjadi, orang kurang makanan, tiada wang, dan yang terbaru terpaksa gantung bendera. Ramai yang putus asa sampai bunuh diri.

“Kita cuba bantu walaupun tak banyak.. dapat selamatkan satu dua keluarga pun sudah cukup,” katanya.

Dia juga turut bekerjasama dengan bekas penjaga gol pasukan Selangor, Jamsari Sabian yang membekalkan pek keperluan asas untuk diedarkan.

Nai’mullah turut mengambil inisiatif mengedarkan makanan kepada keluarga sekitar yang tidak mempunyai kenderaan.

Tambahnya, penerima yang disasarkan ialah ibu tunggal dan mereka yang tiada pekerjaan dan mempunyai anak kecil.

“Kita ada buat tapisan sedikit kerana kita tidak mempunyai dana besar, jadi kita nak bantuan ini sampai kepada mereka yang betul-betul memerlukan.

“Kita tidak mahu mereka terlalu tertekan sehingga sanggup membuat perkara yang tak elok,” kata Na’imullah.