Monday, July 26, 2021

Henti berpolitik, fokus usaha bantu rakyat, kata TPM

Beliau berkata dalam keadaan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi, semua pihak perlu bersatu dan bersama-sama untuk memerangi pandemik itu.

Other News

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menggesa semua pihak terutama ahli politik supaya berhenti berpolitik, sebaliknya memberi fokus kepada usaha membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata dalam keadaan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi, semua pihak perlu bersatu dan bersama-sama untuk memerangi pandemik itu.

“Janganlah kita berpolitik dalam keadaan sekarang ini kerana rakyat sedang mengalami kesusahan dan memerlukan fokus sepenuhnya bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga parti-parti politik supaya kita dapat membantu rakyat.

“Sekarang ini fokus kita mestilah membantu rakyat yang sedang dalam kesusahan dan dalam masa yang sama strategi untuk menentang Covid-19 ini perlu juga disokong oleh semua,” katanya kepada pemberita selepas melawat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Mohd Harun.

PPR Kerinchi dikenakan PKPD bermula 3 hingga 16 Julai.

Ismail berkata sejak Januari lepas hingga kini, lebih 500,000 bakul makanan bernilai lebih RM50 juta diagihkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

Beliau berkata di bawah Program Kasih Prihatin pula kerajaan memperuntukkan RM100 juta melibatkan sumbangan RM100 seorang kepada kira-kira 300,000 rakyat yang diagihkan mulai bulan ini hingga September ini.

“Walaupun bantuan ini bukan secara tunai, mereka boleh ke kedai-kedai terpilih sebanyak lebih 300 rantaiannya dan hanya perlu menunjukkan kad pengenalan seterusnya mereka boleh mendapatkan barangan bernilai RM100 secara percuma. Ini sebagai tambahan kepada bakul makanan ini,” katanya.

Beliau berkata selain bantuan kerajaan, majlis agama Islam di negeri-negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyalurkan bantuan makanan dan barangan kepada mereka yang memerlukan.

Justeru, Ismail menggesa mana-mana pihak yang memerlukan bantuan atau terputus bekalan makanan supaya menghubungi Bilik Gerakan JKM di daerah masing-masing yang dibuka 24 jam setiap hari dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan.

“Mereka juga boleh merujuk kepada pusat zakat negeri masing-masing untuk mendapatkan bantuan. Banyak masjid dan surau juga menyediakan gerobok rezeki. Jika ada masalah terus berhubung dengan pihak berkaitan. Kita tak nak tengok ada yang tidak makan satu, dua hari dan sebagainya.

“Sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku kerana kita ada banyak tempat untuk mereka buat aduan dan mendapatkan bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat dan pihak NGO yang turut sama membantu kerajaan menyalurkan bantuan makanan dan barangan kepada mereka yang dalam kesusahan.

Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan NGO untuk memudahkan pergerakan mereka terutamanya di kawasan yang terlibat dengan PKPD.

“Saya akan melihat secara terperinci bagaimana hendak membantu pergerakan mereka. Pergerakan sekarang memang agak sukar kerana dalam prosedur operasi standard (SOP), pergerakan antara daerah hanya boleh dilakukan apabila Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara.

“Sekarang kita masih di Fasa Satu dan ada (beberapa negeri) yang dah masuk Fasa Dua, pergerakan masih lagi terhad. Saya akan bincang perkara ini dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersetuju supaya saya melihat perkara ini bagi membantu mempermudahkan urusan NGO untuk membantu,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles